KUALA TERENGGANU: Dua anggota polis ditahan reman tujuh hari kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM5,000 daripada seorang individu sebagai balasan tidak mengambil tindakan ke atas kesalahan aktiviti perjudian dan narkotik pada 2022 hingga tahun lalu.
Perintah reman anggota polis berpangkat sarjan dan sarjan mejar berusia lingkungan 40-an dan 50-an itu dikeluarkan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki itu ditahan antara kira-kira pukul 12.30 tengah hari hingga 2 petang ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu, semalam.
“Siasatan awal mendapati suspek pertama yang berusia 50-an dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar Ogos 2024 dengan meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM3,000 daripada seorang individu sebagai balasan tidak mengambil tindakan ke atas kesalahan aktiviti perjudian serta narkotik.
“Suspek kedua yang berusia 40-an pula dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar Disember 2022 hingga Mei 2023 dengan meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM2,000 daripada seorang individu sebagai balasan tidak mengambil tindakan ke atas kesalahan narkotik,” katanya dihubungi hari ini.
Sumber itu berkata, kedua-dua suspek disyaki menerima suapan secara tunai dan melalui transaksi pindahan ke akaun bank milik masing-masing.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – UTUSAN