Ibu anak parah, lori hilang kawalan rempuh empat kenderaan

Ibu anak parah, lori hilang kawalan rempuh empat kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua individu dilaporkan cedera parah selepas sebuah lori hilang kawalan lalu merempuh empat kenderaan lain di susur keluar Lebuhraya Guthrie menghala ke lampu isyarat Bukit Subang, Sungai Buloh, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.20 petang itu, lori terbabit dikatakan datang dari arah Batu Arang menuju ke Cyberjaya sebelum melanggar sebuah kereta jenis Proton Saga BLM yang sedang berhenti di lampu isyarat berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, kejadian itu menyebabkan Proton Saga berkenaan melanggar empat lagi kenderaan lain iaitu tiga kereta termasuk sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah van berada di lorong sama.

“Akibat kemalangan itu, semua kenderaan terlibat mengalami kerosakan teruk manakala pemandu dan penumpang Proton Saga BLM mengalami kecederaan parah.

“Pemandu lori terbabit telah ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Hafiz berkata, siasatan awal berdasarkan rakaman video papan pemuka mendapati kemalangan berpunca apabila pemandu lori gagal mengawal kenderaannya ketika di lokasi kejadian.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa memeriksa keadaan kenderaan masing-masing sebelum memulakan perjalanan dan sentiasa memandu secara berhemah.

“Pengguna jalan raya juga perlu bertimbang rasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini seperti ini daripada berlaku,” ujarnya.

Tambah beliau, orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Azie Azyantie Mohd. Rafa’e di talian 013-6756317 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh di 03-6156 1222. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN