KUALA TERENGGANU: Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari inI, atas pertuduhan mengedar dadah seberat hampir 600 kilogram (kg) pada 23 April lalu.
Nik Khairil Shahruzie Nik Rozlan, 32, dan Muhamad Reduan Meor Hussin, 38, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.
Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas didapati mengedar dadah berbahaya disyaki jenis methamphetamine seberat 480.380 kilogram di tebing Sungai Setiu, di Setiu, dekat sini.
Bagi pertuduhan kedua, dua tertuduh itu bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa secara bersama mengedar dadah jenis heroin seberat 109.890 kg di lokasi dan masa yang sama.
Sementara itu, Muhamad Reduan didakwa satu lagi pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 1.02 kg di tepi Pulau Tok Bilal, Sungai Setiu pada pukul 10 malam pada 23 April lalu.
Semua pertuduhan dikemukakan didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dan boleh dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mandatori sampai mati atau penjara seumur hidup.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Najah Azhar manakala Nik Khairil Shahruzie diwakili peguam, Anasuha Atiqah Mat Saidi dan Mohd Izzat Hasizan manakala Muhamad Reduan tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 3 Ogos ini untuk sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Setiu. – UTUSAN