IPOH: Dua anggota polis berpangkat Lans Koperal dan seorang bekas Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM20,000 daripada seorang pesalah dadah, dua tahun lalu.
Tertuduh, Wan Mohd. Nor Imran Wan Seman, 35, yang kini bekerja sebagai pemandu lori bersama Ahmad Rabani Rusnizal, 29, dan Mohamad Shukre Mohamed Rowi , 37, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh yang bertugas di Unit Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Merbok didakwa secara bersama telah secara rasuah memperoleh satu suapan iaitu wang RM20,000 melalui pindahan wang daripada seorang lelaki berusia 37 tahun ke dalam akaun bank Ahmad Rabani.
Wang itu sebagai dorongan untuk ketiga-tiga tertuduh tidak mengambil tindakan terhadap lelaki terbabit kerana memiliki dadah jenis syabu yang merupakan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di BSN-CPI Kamunting dalam daerah Larut, Matang dan Selama pada pukul 3 pagi, 24 dan 25 Julai 2023.
Bagi perbuatan tersebut, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Zulfadli Azharudin mencadangkan setiap tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam Siti Salwa Ja’afar yang mewakili ketiga-tiga tertuduh memohon jumlah jaminan minimum atas alasan kesemua anak guamnya mempunyai tanggungan dan memberi komitmen untuk hadir ke mahkamah.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM5,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri pada hari Ahad pertama setiap bulan di Pejabat SPRM Sungai Petani sehingga selesai perbicaraan.
Tarikh sebutan semula ditetapkan pada 26 Jun depan. – UTUSAN