SHAH ALAM: Seramai dua juta pelancong tempatan dan luar negara direkodkan hadir ke Selangor bagi tempoh suku pertama tahun ini.
Menurut Exco Pelancongan negeri, Datuk Ng Suee Lim, jumlah tersebut dijangka terus meningkat dengan pelbagai promosi di peringkat domestik dan antarabangsa dilaksana Tourism Selangor.
“Buat masa ini, kita masih menunggu jumlah terkini namun setakat suku pertama dianggarkan dua juta pelancong domestik dan antarabangsa.
“Kita akan bentangkan laporan terkini bagi setiap suku tahun. Pelbagai acara disediakan sempena Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025) merangkumi pelbagai segmen,” katanya selepas majlis perasmian Festival Makanan Mega Selangor 2025 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, di sini semalam.
Suee Lim berkata, pihaknya optimis jumlah 40 peratus pelancong antarabangsa yang disasar sempena TMS2025 dapat dicapai menjelang hujung tahun ini.
“Setakat ini, 33 peratus pelancong antarabangsa direkodkan datang ke Selangor yang mana China paling ramai diikuti Singapura, Indonesia dan Jepun.
“Bagi pelancong antarabangsa mereka berbelanja sekitat RM4,068 manakala domestik pula RM668, namun kita jangka masa depan purata dibelanja meningkat RM5,000 seorang sekaligus menjana ekonomi Selangor,”ujarnya.
TMS2025 dijangka menarik lapan juta pelancong domestik dan antarabangsa dengan sasaran kutipan resit RM11.7 bilion.
Menurut Tourism Selangor, TMS2025 disasar menawarkan lebih 60 program dan acara dengan promosinya memberi penekanan khusus kepada beberapa segmen termasuk pelancongan eko, agro, seni dan budaya.-UTUSAN