Dua 'budak suruhan' ah long didakwa lakukan khianat dengan api - Utusan Malaysia

Dua ‘budak suruhan’ ah long didakwa lakukan khianat dengan api

DUA lelaki didakwa melakukan khianat dengan api hingga menyebabkan kerosakan empat buah rumah di sekitar Ipoh dan Kampar, bulan lalu di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Dua ‘budak suruhan’ ah long dihadapkan ke Mahkamah Sesyen berasingan di sini hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dengan api hingga menyebabkan kerosakan empat buah rumah di sekitar Ipoh dan Kampar, bulan lalu.

Tertuduh warga tempatan, Kok Wan Liang, 37, bagaimanapun mengaku bersalah bagi lima pertuduhan manakala lelaki warga Taiwan, Lin Jia He, 25, pula mohon dibicarakan bagi enam pertuduhan.

Kedua-dua lelaki terbabit membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad dan Hakim Azizah Ahmad selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin.

Di hadapan Ainul Shahrin, Wan Liang dan Jia He didakwa bagi dua pertuduhan melakukan khianat dengan api iaitu membaling dua botol kaca mengandungi petrol dan molotov cocktail di dua buah rumah masing-masing di Taman Bandar Baru, Kampar pada pukul 4.20 pagi dan 2.50 pagi di Kampung Baru Kuala Kuang di dalam daerah Kinta pada 10 April 2025.

Dalam prosiding di mahkamah itu, Jia He turut didakwa melakukan perbuatan sama di sebuah rumah milik individu lain di Panorama Lapangan Perdana di dalam daerah Kinta pada pukul 12.58 tengah hari, 25 Mac 2025.

Pertuduhan ke atas dua lelaki itu dijalankan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Ainul membenarkan jaminan RM10,000 terhadap Wan Liang manakala lelaki warga Taiwan itu dikenakan jaminan sebanyak RM15,000 bagi tiga pertuduhan.

Sementara itu di kamar berasingan, kedua-dua tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan bagi tiga pertuduhan melakukan khianat dengan api di Panorama Lapangan Perdana pada pukul 3 petang dan 11.40 pagi masing-masing pada 2 dan 4 April 2025 serta di Taman Bandar Baru, Kampar pada pukul 12.30 pagi, 8 April 2025.

Mereka turut didakwa di bawah Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 selepas didapati secara tidak munasabah membaling molotov cocktail hingga menyebabkan kecederaan kepada seekor anjing jenis Rottweiler berusia 11 tahun di sebuah rumah di Panorama Lapangan Perdana pada pukul 3 petang, 2 April 2025.

Azizah kemudian membenarkan Jia He diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah manakala tiada jaminan diberikan kepada Wan Liang.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R. S. Vitthiyeswary dan N. M. Moganaraj Mithra manakala peguam, R. Rajasegaran hanya mewakili Jia He.

Mahkamah menetapkan 23 Julai ini untuk tarikh sebutan bagi fakta kes dan hukuman terhadap Wan Liang dan tarikh sama juga untuk serahan dokumen bagi Jia He.

Menerusi laporan media sebelum ini, lima laporan polis berhubung kejadian melemparkan bom petrol di sebuah rumah di Kampung Rapat dibuat seorang wanita berusia 62 tahun antara 26 Mac hingga 4 April lalu.

Berdasarkan siasatan di lokasi kejadian, mangsa memberitahu pernah menerima ugutan melalui nota yang ditinggalkan di hadapan pagar rumah.

Nota itu meminta mangsa membayar hutang dan bom petrol juga dibaling ke dalam kawasan rumahnya sebanyak lima kali hingga menyebabkan kebakaran pada pagar rumah, kawasan tempat letak kereta, pintu hadapan dan dinding. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya