PUTRAJAYA: Tindakan menugaskan pihak ketiga untuk menyediakan penghakiman atau pemandangan sama ada untuk digunakan dalam penghakiman akhir atau sebaliknya adalah satu tindakan yang tidak boleh diterima dan sangat prejudis.
Tindakan itu telah mewujudkan satu ketidakadilan dan bahaya berat sebelah yang nyata yang seterusnya menyebabkan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor tidak mendapat perbicaraan yang adil.
“Perayu (Rosmah) tidak mendapat perbicaraan yang adil apabila hak Perlembagaannya dan kebebasannya telah dicabuli menyebabkan berlakunya kegagalan pelaksanaan keadilan terhadap perayu,” kata peguam Datuk Jagjit Singh.
Selain itu, peguam itu turut menyatakan, Unit Penyelidikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dipercayai telah menerima arahan khusus untuk menyediakan draf penghakiman bagi kes rasuah berkenaan.
Ini kerana unit penyelidikan itu tidak akan bertindak sendiri tanpa sebarang arahan atau panduan daripada pihak yang berkepentingan.
Jagjit berkata demikian pada prosiding rayuan anak guamnya untuk menggugurkan Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan (kini Hakim Mahkamah Rayuan) daripada mendengar atau membuat keputusan dalam kes rasuah berkenaan ekoran kebocoran dokumen dipercayai draf penghakiman hakim itu.
Bagaimanapun ketika disoal oleh Hakim Datuk Noorin Badaruddin yang merupakan salah seorang panel tiga hakim yang mendengar rayuan terbabit, peguam itu bersetuju bahawa penghakiman akhir oleh Hakim Mohamed Zaini tidak sama dengan penghakiman bocor itu.
Panel tersebut diketuai Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang turut dianggotai Hakim Datuk Azman Abdullah. Mahkamah kemudian menetapkan 25 Jun ini untuk pihak perayu menyambung hujah mereka.
Rosmah memfailkan permohonan itu pada 1 September 2022 atas alasan beliau meragui integriti Hakim Mohamed Zaini ekoran insiden pembocoran dokumen penghakiman yang disiarkan oleh sebuah portal berita.
Laporan portal bertajuk ‘Rosmah Mansor Will Be Pronounced Guilty On 1st September 2022′ dan ‘Download Or View The 71-Page Judgement And Guilty Verdict On Rosmah Mansor Here‘ yang disiarkan pada 26 Ogos 2022 yang kemudiannya tular di media sosial.
Dalam afidavit sokongannya, Rosmah terkejut kerana alasan penghakiman kes projek solar itu telah siap dan disediakan oleh pihak ketiga, bukannya hakim berkenaan.
Hakim Mohamed Zaini menyatakan segala penghakiman dibuat sendiri olehnya selepas membuat kajian sendiri.
Permohonan Rosmah agar hakim itu menarik diri difailkan beberapa jam sebelum keputusan kes rasuah berkaitan projek solar di sekolah di Sarawak yang dihadapi wanita berkenaan tersebut dibacakan.
Ujar hakim itu, beliau telah menulis lebih 200 penghakiman dan penghakiman bocor itu bukanlah alasan penghakiman yang ditulisnya sendiri. – UTUSAN