KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy akan didakwa di Mahkamah Pulau Pinang esok atas pertuduhan berkaitan kes pecah amanah jenayah.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pertuduhan itu melibatkan isu perolehan kereta kuda emas (Golden Chariot) pada tahun 2017 serta bantuan kebajikan yang disalurkan menerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB).
“Ya, beliau (Ramasamy) akan didakwa esok,” katanya ringkas kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ramasamy sebelum ini dihalang daripada ke luar negara oleh SPRM pada Disember lalu.
Beliau didakwa dijadual menghadiri satu majlis penganugerahan di Aceh, Indonesia, namun dilarang berlepas ketika berada di lapangan terbang.
Anugerah tersebut sepatutnya disampaikan oleh Wali Nanggoroe Aceh sebagai pengiktirafan atas peranan beliau dalam rundingan damai antara kerajaan pusat Indonesia dan Gerakan Aceh Merdeka (GAM).
Mengulas perkara itu, Ramasamy ketika itu melahirkan rasa terkejut kerana tidak pernah dipanggil memberi keterangan oleh SPRM.
“Kenapa tiba-tiba saya menjadi orang yang dikehendaki di negara ini?,” dakwanya. – UTUSAN