MARAN: “Dia peluk dan cium tangan kami lama sangat sambil menangis, rupanya itulah perpisahan terakhir.”
Itu cerita Zaleha Abd. Rahim, 50, kakak sulung kepada Allahyarham Sarjan Mohd. Roslan, 46, yang terkorban dalam tragedi menyayat hati melibatkan sebuah trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), semalam.
Allahyarham merupakan antara sembilan anggota dari Unit 5 FRU Sungai Senam, Ipoh yang maut selepas trak dinaiki mereka dirempuh sebuah lori membawa muatan bata di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Langkap, Teluk Intan, Perak.
Mengimbas detik terakhir bertemu arwah pada pagi Hari Raya Aidilfitri lalu, ketika mereka sekeluarga berkumpul di rumah pusaka keluarga di Felda Jengka 1 di sini.
Katanya, Mohd. Roslan ketika itu begitu ceria dan banyak bercerita.
“Biasanya dia diam, tapi masa itu dia bercerita macam-macam. Kami adik-beradik pun perasan perubahan itu, rupanya itu petanda.
“Ketika arwah bersalaman untuk pulang ke Ipoh, dia mencium tangan sangat lama sambil menitiskan air mata. Itulah rupanya tanda perpisahan abadi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Felda Jengka 1 di sini.
Katanya, Mohd. Roslan yang baharu dinaikkan pangkat ke Sarjan pada Januari lalu, tinggal di Taman Kinding, Ipoh, Perak berhampiran kediaman keluarga mentuanya.
“Dia begitu teruja masa naik pangkat hari itu. Selalu cakap nak membesarkan lagi rumah supaya senang isteri dan anak-anak,” katanya.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Noraini Samion, 44, dan tiga cahaya mata berusia antara lima hingga 13 tahun. Isterinya tidak bekerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa, menjadikan arwah tempat bergantung utama seisi keluarga.
Lebih memilukan, anak sulung mereka, Mohd. Raqin Najmi merupakan seorang orang kelainan upaya (OKU) dan begitu rapat dengan arwah bapanya.
Menurut Zaleha, Mohd. Roslan terlalu menyayangi anak istimewanya itu dan tidak pernah berjauhan dengannya setiap kali bercuti.
“Kami adik-beradik sudah berjanji untuk sama-sama memelihara kebajikan anak-anak arwah. Mereka amanah yang akan kami jaga sampai bila-bila,” kata Zaleha penuh sebak.-UTUSAN










