DBKL beri perhatian isu tunggakan sewa cecah RM70 juta

DBKL beri perhatian isu tunggakan sewa cecah RM70 juta

Maimunah Mohd. Sharif(kiri) ketika sidang akhbar di Dewan Serbaguna PPR Sri Desa Rejang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tunggakan sewa sebanyak RM70 juta, kegiatan jenayah, kerosakan dan kekurangan infrastruktur antara isu yang menghantui penghuni Projek perumahan Rakyat  (PPR) dan perumahan awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd. Sharif berkata, ia hasil aduan dan sesi dialog dilakukan pihaknya di PPR dan perumahan awam di sekitar Kuala Lumpur termasuk PPR Seri Desa Rejang, Setapak hari ini.

“Antara isu paling mendesak ialah tunggakan sewa melibatkan penyewa di perumahan awam dan PPR yang kini mencatatkan jumlah yang sangat tinggi, selain masalah berkaitan kegiatan jenayah, penagihan dadah, pembuangan sampah haram, kekurangan parkir dan infrastruktur yang rosak.

“DBKL sedang melaksanakan pelbagai langkah penyelesaian termasuk pemasangan kunci air, pemberian notis dan program advokasi kewangan kepada penyewa yang menunggak bagi memastikan bayaran dapat dijelaskan,” katanya ketika sidang akhbar di Dewan Serbaguna PPR Sri Desa Rejang, hari ini.

Tambahnya, penelitian DBKL mendapati penyelenggaraan bangunan merupakan antara cabaran utama yang perlu ditangani segera bagi memastikan persekitaran yang kondusif kepada semua penduduk.

Menurut beliau, aspek penyelenggaraan turut diberi perhatian serius khususnya bagi bangunan yang diuruskan melalui badan korporat supaya mutu kehidupan penduduk tidak terjejas.

Ujarnya lagi, DBKL sedang meneliti kemungkinan memberi peluang pemilikan rumah kepada penyewa yang benar-benar layak, khususnya yang tidak berkemampuan membuat pinjaman bank.

“Program bantuan tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif Local Action 21 di bawah Program Kesejahteraan Komuniti Bandar Selamat, yang menyaksikan penglibatan langsung DBKL, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan komuniti setempat bagi menangani isu keselamatan dan kesejahteraan di kawasan berpenduduk padat.

“Keberadaan DBKL dan PDRM di kawasan PPR ini menunjukkan komitmen kami untuk bekerjasama meningkatkan keselamatan setempat. Ini bukan program sekali lalu, tetapi akan diteruskan dari satu kawasan ke kawasan lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN