Dasar Francais Nasional sasar jualan RM100 Bilion

Dasar Francais Nasional sasar jualan RM100 bilion

AHMAD Zahid (tengah) semasa merasmikan Pameran Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) dan Deklarasi Konvensyen Francais ASEAN (AFC) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam. -UTUSAN/ISKANDAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan ko­mited memperkasa industri francais negara melalui pelancaran Dasar Francais Nasional 2030, yang menumpukan kepada pengembangan pasaran, pembinaan kapasiti serta pe­ngukuhan ekosistem industri.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, dasar yang sejajar dengan aspirasi Malaysia Madani itu dilihat sebagai pemangkin penting kepada mobiliti sosial dan pemerkasaan ekonomi, sekali gus memperkukuh sumbangan sektor francais kepada ekonomi negara.

Jelasnya, sektor francais perlu dibangunkan menjadi lebih kukuh dan berdaya saing di pe­ringkat global dengan matlamat mencapai sasaran jualan RM100 bilion menjelang 2030.

“Bagi mencapai matlamat tersebut, beberapa inisiatif strategik dicadangkan seperti ASEAN Franchise Accelerator Programme. Inisiatif utama ini bagi membimbing jenama francais tempatan menerusi bim­bingan pakar, akses pembiayaan dan kemasukan pantas ke pasaran serantau.

“Program Cabaran Perniagaan Francais Universiti ASEAN adalah platform untuk mengetengahkan idea francais inovatif daripada pelajar universiti seluruh ASEAN, yang berpotensi untuk dibangunkan oleh pemain industri utama.

“Sambutan Hari Francais Sedunia pula adalah acara tahunan anjuran semua ahli Majlis Francais Sedunia (WFC) pada minggu kedua bulan Jun, bagi meraikan impak dan perpa­duan komuniti francais global menerusi program kesedaran dan persidangan di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis Pameran Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) dan Deklarasi Konvensyen Francais ASEAN (AFC) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, semalam.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menjelaskan inisiatif berkenaan mencerminkan iltizam kerajaan dalam melahirkan generasi baharu pemimpin francais Malaysia yang mampu membawa jenama tempatan ke pasaran ASEAN dan antarabangsa dengan lebih berkesan.

Katanya, beberapa ­jenama francais tempatan seperti Marry­brown, Global Art dan Laundrybar diiktiraf sebagai antara kejayaan terbesar negara dalam memperluas perniagaan ke peringkat serantau, sekaligus membuktikan keupayaan rak­yat dalam inovasi, daya tahan dan semangat keusahawanan.

“Kejayaan ini menjadi simbol jenama tempatan mampu bersaing di pentas global dan saya yakin dengan sokongan yang betul, lebih banyak lagi jenama tempatan akan muncul dan mencipta nama di peringkat antarabangsa,” katanya.

Dalam konteks kepengerusian ASEAN oleh Malaysia, be­liau menekankan model francais tidak hanya dilihat sebagai satu bentuk perniagaan semata-mata, tetapi sebagai jambatan memperkukuh integrasi serantau.

Katanya, francais boleh mempercepatkan kerjasama rentas sempadan, memudahkan pemindahan teknologi dan membina ekosistem francais ASEAN yang berdaya saing di peringkat global.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN