KANGAR: Perlis menafikan pembentukan empat kerajaan negeri (SG4) di bawah Perikatan Nasional (PN) tidak memberi impak sebaliknya proses tersebut terus berjalan dengan pelbagai perancangan dan kemajuan.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, antaranya sektor pertanian dan pelaburan khususnya mineral menjadi teras penting dalam rancangan pembangunan jangka panjang negeri ini seiring dengan aspirasi SG4.
Katanya, malah minggu depan, kerajaan negeri juga akan menghadiri mesyuarat berkaitan kluster pertanian bersama empat negeri dibawah SG4 dan ia antara usaha memperkukuh kerjasama strategik dan mempercepat pembangunan sektor pertanian serta pelaburan.
Selain itu, pada Julai pula, akan dihimpunkan para pelabur yang bakal diadakan di Kedah sekali gus bakal menarik lebih banyak pelaburan, khususnya ke negeri-negeri SG4.
“SG4 turut menyusun pelantikan barisan penasihat baharu bagi sektor pelaburan dan pertanian demi memastikan perancangan lebih tersusun, profesional dan berimpak tinggi.
“Di Perlis, antara sektor yang diberi tumpuan ialah mineral termasuk sumber dolomite yang dikenal pasti wujud di Perlis. Setakat ini, belum ada hasil secara langsung, tetapi kita sedang meneliti potensi besar dalam sektor mineral.
“Perlis merupakan antara empat negeri yang dikenal pasti mempunyai sumber dolomite sekali gus bakal menjadi penyumbang kepada pendapatan negeri ini,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Exco di Kompleks DUN Perlis di sini semalam.
Dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Disember tahun lalu, Mohd. Shukri memaklumkan Perlis menikmati hasil dolomite kira-kira RM3.5 juta setahun sekali gus membantu menjana sumber pendapatan buat negeri ini.
Malah, pada tahun 2024 sehingga Oktober, jumlah hasil dolomite di Perlis mencecah RM2.7 juta dan anggaran rizab dolomite di negeri ini adalah lebih kurang 653 juta tan metrik dengan peratusan magnesium lebih dari 20 peratus.
Sebelum itu, Utusan Malaysia pernah melaporkan, kerajaan negeri akan memberikan penumpuan bagi meneroka sektor perlombongan dan pengkuarian dolomite yang disifatkan mempunyai potensi besar dalam membawa pulangan kepada Perlis.
Sektor tersebut dianggarkan mampu menjana pulangan bernilai lebih RM19.2 bilion buat negeri ini sekiranya diteroka secara serius.
Sementara itu, Mohd Shukri berkata, sektor pertanian dan pelaburan khususnya mineral merupakan teras penting dalam rancangan pembangunan jangka panjang Perlis, seiring dengan aspirasi SG4.
“Gabungan sektor ini akan menjadi pemacu utama ekonomi negeri. Kita yakin dengan perancangan strategik dan kerjasama antara kerajaan negeri dan Pusat serta sektor swasta, Perlis mampu melonjak sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif,” katanya.
Beliau turut menyeru semua pihak untuk memberi sokongan terhadap inisiatif SG4 yang bukan sahaja memperkukuh kerjasama antara negeri-negeri PN, tetapi juga menawarkan model pembangunan mampan yang memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat.
“Perlis negeri kecil tetapi punya potensi besar. Jika kita fokus dan bekerjasama secara tuntas, negeri ini mampu melakar kejayaan lebih besar untuk masa depan rakyat,” katanya. – UTUSAN