PETALING JAYA : Dakwaan kononnya 11 wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai tuduhan liar yang mengancam kestabilan negara.
Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Selangor, Datuk Borhan Aman Shah menegaskan, dakwaan tersebut tidak berasas dan merupakan percubaan tidak bertanggungjawab oleh pihak luar untuk mencetuskan kekacauan dalaman.
“Ia bukan sekadar fitnah terhadap parti, malah berpotensi menggugat kestabilan politik negara secara keseluruhan.
“Saya menafikan sepenuhnya tuduhan ini kerana ia tidak berasas sama sekali. Malah, beberapa pemimpin yang dikaitkan dengan dakwaan ini telah pun membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Dakwaan tersebut tular selepas beberapa tangkap layar perbualan WhatsApp tersebar sejak beberapa hari lalu, kononnya menyenaraikan 11 Ahli Parlimen yang menarik sokongan terhadap Anwar.
Antara nama yang disebut termasuk Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli; Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir dan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Mengulas lanjut, Ketua Cabang PKR Sepang itu menjelaskan perbezaan pandangan dalam kalangan pemimpin parti adalah perkara biasa dan sebahagian daripada tradisi demokrasi yang diamalkan dalam PKR.
“Perbezaan pendapat atau pergeseran semasa pemilihan adalah lumrah dalam mana-mana parti politik. Namun, selepas pemilihan, kita kembali bersatu bagai biduk lalu, kiambang bertaut,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Cheras, Amir Zuhair Abdull Khalid turut menyelar tindakan pihak luar yang mencampuri urusan dalaman parti.
“Fitnah dan provokasi murahan seperti ini tidak akan melemahkan semangat kami. Sebaliknya, ia memperkukuhkan lagi tekad seluruh ahli untuk terus mara di bawah pimpinan Presiden dan Perdana Menteri demi memastikan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat,” tegasnya.
Beliau berkata, kekalahan dalam pemilihan parti adalah perkara lumrah dalam organisasi demokratik.
Namun, menjaja fitnah dan membakar sentimen dengan niat mencetuskan keretakan adalah tindakan tidak bertanggungjawab.
“Kami, generasi pelapis dalam PKR, tidak akan membenarkan sejarah hitam 2020 berulang.
“Majoriti pemimpin yang disebut dalam dakwaan tersebut telah tampil membuat penafian secara terbuka. Malah, mereka yang tidak terpilih dalam pemilihan baru-baru ini turut menunjukkan komitmen untuk terus berkhidmat demi memperkukuh perjuangan reformasi,” katanya.
Amir Zuhair turut menegaskan pendirian pemimpin hari ini jelas berbeza daripada watak-watak pengkhianat seperti Datuk Seri Azmin Ali, Zuraida Kamaruddin dan konco-konco mereka yang suatu ketika dahulu menjadi ejen asing dalam parti serta mengkhianati mandat rakyat. – UTUSAN










