KUALA LUMPUR: Dua penuntut universiti di Singapura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menipu salah seorang ibu mereka kononnya anak wanita berkenaan telah diculik dan menuntut tebusan sebanyak RM2.9 juta.
Tertuduh, Zhang Runbao, 23, dan Ye Yingxi, 18, yang juga warganegara China membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadap mereka didakwa di hadapan Hakim Azrul Darus.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh telah menipu Cheng Zhiwen (ibu kepada Yingxi) dengan membuat panggilan dan menunjukkan video memaparkan anaknya dalam keadaan separuh bogel, tangannya diikat dan mulutnya ditutup dengan pita pelekat, lehernya dicekik, badan dipijak dan mukanya dituang dengan air sebelum meminta wang tebusan daripada Zhiwen sebanyak CN¥5 juta (RM2.9 juta) untuk dimasukkan ke dalam satu akaun di China.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara pukul 11.44 pagi dan 9.15 malam, 2 Mei lalu di sebuah hotel di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini.
Pertuduhan dikemukakan Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 akta sama dan turut dibaca bersama Seksyen 34 kanun serupa.
Seksyen 420 memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda manakala Seksyen 511 memperuntukkan hukuman maksimum lima tahun.
Runbao dan Yingxi juga mengaku tidak bersalah atas tuduhan pilihan yang dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi pertuduhan serupa.
Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syafina Radzuan manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam-peguam bela, Ernie Sulastri Ahmad dan Ramesh Sivakumar.
Azrul menetapkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan dua penjamin bagi setiap tertuduh dan pasport perlu diserahkan kepada mahkamah untuk disimpan sehingga kes selesai.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 27 Mei ini.-UTUSAN