SELAMBA menggelar ibu tirinya sebagai ‘perempuan itu’, aktres versatil, Nabila Huda, kembali menjadi bahan bualan hangat orang ramai.
Seolah menggambarkan kemelutnya dengan ibu tiri iaitu Nourish Hassan tidak ada penghujung cerita, Nabila sedar panggilan ‘perempuan itu’ tentunya tidak manis didengar dan dibaca oleh warganet.
Namun, dia menganggap setiap orang tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku di sebalik tabir kehidupannya dengan keluarga.
Kata pelakon berusia 41 tahun itu, apa yang diluahkannya bukanlah sekadar emosi semata memandangkan konflik yang melibatkan mereka bukanlah perkara baharu.
Ia sudah wujud sejak dirinya masih kecil lagi. Namun sayangnya, tidak pernah betul-betul menemui jalan penyelesaian.
“Kalau boleh memang saya tak akan lagi bercakap mengenai hal ini kerana ia tidak mendatangkan hasil pun kepada saya.
“Saya fikir ini semua mengarut. Jadi saya tak perlu fikirkan apa-apa pun. Saya nak teruskan hidup sendiri sebab saya rasa saya ada kebahagiaan sendiri,”katanya.
Terselit sedikit getar dalam pengakuan, pelakon berjiwa besar itu bagaimanapun mengakui sudah penat menjadi individu yang berdiam diri.
“Saya rasa dah cukup baik dah Nabila Huda ini. Iya lah, sudah berapa lama bukan?
“Orang selalu cakap, kenalah bermaafan, buang ego. Tapi ini sudah berapa kali dah? Sudahlah. Cukup. Kalau nak cakap pasal terluka hati, benda ini sudah lama.
“Saya pun sudah tidak berasa terluka sebab rasanya sudah lama sembuh.
“Namun masih ada pihak (merujuk kepada ibu tirinya) yang tidak berhenti mengungkit atau menyimbah garam ke luka lama itu,” katanya.
Meluahkan rasa hati yang telah lama terpendam, Nabila turut menyentuh mengenai perasaannya terhadap bapa tersayang, penyanyi rock, Datuk Amy Search.
“Sebenarnya kalau ikutkan, saya tak perlukan semua ini sebab saya memang bahagia dengan hidup saya.
“Cuma tentulah perasaan rindu seorang anak terhadap bapanya itu tidak boleh dibuang. Apabila orang tanya, saya jadi tersentuh. Saya tak jumpa papa saya dah setahun lebih.
“Apa yang terjadi dalam hidup saya, anda tidak lalui. Cuma saya nak cakap pada perempuan itu, cukuplah. Tak payah rasa diri awak itu mangsa, dianiaya atau difitnah. Tak perlu. Lebih baik awak berhenti sebelum banyak lagi perkara buruk berlaku,” katanya.
Jelas Nabila, hal ini diluahkannya kepada umum bukanlah kerana dahagakan perhatian orang atau dianggap mahu mencipta ‘drama’ murahan.
Sebaliknya kata pelakon filem Gayong dan Telaga Suriram itu, dia mengakui sudah tiba masanya untuk kembali bertegas dan bangkit daripada terus diinjak-injak oleh pihak tertentu yang tidak bersikap rasional.
“Buat apa saya nak cipta drama? Ini bukan slot Akasia atau Samarinda di kaca televisyen. Terus-terang, saya ini sangat bersyukur sebab ada sebuah keluarga yang tak ada drama bersama suami dan anak, Keysha.
“Kerjaya saya pun berjalan dengan lancar. Sebelum ini pun tak pernah nak buat drama pada sesiapa.
“Cuma apa yang saya lalui ini memang realiti. Saya okey saja. Saya tak ada apa-apa. Yang mana tahu, tahulah cerita di sebalik ‘tabir’,” ujarnya.
Dalam pada itu, Nabila memberi amaran kepada ibu tirinya untuk tidak meneruskan apa yang dilakukannya kini.
“Saya tahu semua rahsia awak. Saya tahu semua yang berlaku dan ada segala-galanya,” katanya dalam nada tegas.
Dalam masa sama, Nabila tidak menolak bahawa peluang untuk ‘perempuan itu’ memperbetulkan keadaan masih terbuka, selain menyeru Nourish membuang sikap negatif.
Ini kerana apa dimahukan adalah kasih sayang seorang bapa.
“Awak jangan risau, saya memang tiada niat untuk merampas harta papa (Amy) saya. Saya berdiri dengan diri sendiri dan tak perlukan semua itu.
“Saya cuma perlu untuk menumpang kasih seorang ayah sahaja. Kenapa susah untuk awak terima, berhentilah untuk cemburu, buanglah sikap busuk hati, kita ini hidup sementara sahaja,” ujarnya. – UTUSAN