Cubaan tiga lelaki seleweng diesel ke Thailand gagal

Cubaan tiga lelaki seleweng diesel ke Thailand gagal

Premis di Bukit Kayu Hitam, Kedah yang menjalankan aktiviti seleweng diesel ke Thailand.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cubaan tiga lelaki termasuk dua warga Thailand menyeleweng diesel ke Thailand gagal dalam Op Taring Landai yang dijalankan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu di sebuah premis di Bukit Kayu Hitam, Kedah, semalam.

Dalam serbuan pada 9.30 pagi itu, PPM turut merampas kira-kira 125,000 liter diesel yang dianggarkan bernilai RM393,750 serta dua pacuan empat roda berkenaan, tujuh tangki skid dan sebuah mesin pam minyak.

Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, pihaknya menahan lelaki tempatan berusia 43 tahun yang juga penjaga premis dan dua lelaki masing-masing pemandu pacuan empat roda.

Katanya, ketika ditahan, ketiga-tiga suspek sedang mengisi diesel dari skid tank ke kenderaan pendaftaran Thailand secara salah dan tidak mempunyai sebarang dokumen sah berkenaan aktiviti terbabit.

“Siasatan awal mendapati suspek mengaku terbabit dalam kegiatan menyeleweng diesel ke negara berkenaan.

“Suspek dan rampasan bernilai RM801,750 sudah diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kubang Pasu untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Kejayaan tangkapan dan rampasan itu mengurangkan kes penyelewengan dan ketirisan bekalan diesel.

“Usaha membanteras kegiatan itu akan diteruskan bersama agensi terbabit,” katanya – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN