Al kisah cik na, pulut dakap, mata petai dan boba

Al kisah cik na, pulut dakap, mata petai dan boba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Mari masuk kak, mak cik! Design baru sampai!”
“Ya, mek. Nak cari apa?”

“Jemput mok, pok! Tengok dulu!

Macam-macam gaya dan aksi jurujual dan pemilik kedai meraih perhatian pelanggan. Makin lama makin ramai pula datang biarpun bukan hujung bulan atau masa dapat gaji.

Sekarang sudah tak kira masa orang membeli. Ada saja pitih sikit, jalan ke kedai. Atau tengok harga harian jatuh sikit saja pergi beli. Harga sekarang pula tiap jam berubah. Kejap naik, turun pula, naik lagi. Gitulah keadaannya.

“Ya, mok. Nak cari apa?” Sapa jurujual yang bukan main sakan lagi gelang di lengan, nala kata orang utara. Kalah mami jarum. Yalah, depa pun nak bergaya juga. Mana boleh tengok sahaja. Alang-alang menjual, nak juga memakai.

“Hok boba ado?” Balas seorang wanita diiringi suaminya. Nampak macam beri sokongan apa yang si isteri mahu.

Kedai ini pelanggannya dari serata negeri. Kebanyakan komuniti di sini memang dari satu Malaysia. Orang minyak gelarannya. Tapi ada saja orang tempatan yang datang berbelanja. Kadang lebih dahsyat lagi!

“Boba hok gini ja, mok,” penjual itu mengeluarkan seutas gelang sederhana besar. Pantas dia menyesuaikan dengan lengan kirinya. Nampak padan.

“Berapa rege hari ning?” saja dia bertanya walaupun sudah diletakkan harga semasa di papan kenyataan.
“456, mok,” pantas saja jurujual itu menjawab. Harga emas 10, emas 916 memang sudah jadi basahannya hari-hari.
“Hor, kan jangok tu..” komen jurujual.

Setelah menelek dan menggayakan dengan beberapa pose, pembeli itu berbicara dengan si suami.

Spontan encik abang menghulurkan kad kredit. Warga lama ini tidak pandai lagi main QR ke online ke.
Tanpa banyak soal, mereka usai menjalankan transaksi. Senyum mewek tauke di belakang melihat urusan pekerjanya lancar tanpa banyak bicara.

Pelbagai fiil dan kerenah pembeli. Betullah, benda mahal bukan hendak beli lebih kurang.

Kadang ada yang baru pertama kali membeli, tentu banyak soal jawabnya. Ada yang hendak berhutang atau bayaran tertangguh. Macam-macam stail dan cara muamalat.

Yang pasti kedai emas tetap menjadi premis terhangat di pasaran!

II
Baru sahaja penjual bergelang nala mengangkat punggung, datang pula sepasang suami isteri dan anaknya. Nampak macam orang berada juga. Kiri kanan lengan siap bersalut.

“Ho, mari pula dah.. ha ha..” penjual tadi membetulkan duduk dan menyapa pelanggan yang datang. Tengok cara gaya menyambut, macam sudah kenal.

“Ya, mari pula la, ada seruang. Dah puasang yang lama,” gelak pelanggan itu.

“Cik Na nak cari apa pula kali ini?” betulah, pembeli ‘regular’.

“Cik Na nak tukar yang roti bun ni. Macam corak lama je. Cuba Nira carikan hok molek sikit,” pelanggan yang dipanggil Cik Na itu meminta pilihannya. Jurujual bernama Nira pantas pula keluarkan beberapa jenis model rantai tangan.

“Cik Na nak berat berapa? Hok ini butir ketumbar 4 gram, kecil sikit. Kalau mata petai tu 5.5 gram. Atau hok ni, ha sesuai untuk Cik Na, bola takraw, design baru 8 gram je,” terangnya satu per satu.

Cik Na dan anaknya mula membuat penilaian atas tafsiran mata masing-masing. Orang gila emas ini tak kira harga, asal cantik sahaja di mata, jadi.

Cik Na dan anaknya ini memang berahi tukar barang kemas. Paling lewat dua bulan sekali memang singgah ke kedai ini.

Kerjanya hanya tukar yang lama dan beli yang baru. Jadi dia tidak keluar modal banyak sekali gus.

Sekarang pula harga emas memang sentiasa naik. Jadi dua tiga tahun beli, apabila dijual balik sudah dapat untung. Cik Na suka kumpul beberapa jenis cincin atau gelang atau rantai leher.

Kemudian jual balik apabila harga tinggi. Dapatan tersebut kadang diambil tunai, tetapi selalunya dia akan beli pula barang lain. Begitulah gaya masing-masing.

“Yang paten lain ada?” anak Cik Na pun sama naik. Lengannya yang lebih berisi itu memang tidak sesuai dengan barang kemas yang nipis dan ringan.

“Kalau awak saya cadangkan yang ni. Nampak padu sikit, orang panggil pulut dakap,” jelas Nira. Macam-macam nama ada, itu belum masuk lagi jenis Dubai – hok kelas sekali katanya.

Anak Cik Na itu mengenakan pada lengannya. Nampak ngam!

Ops, lupa pula pasal tok laki yang datang sama. Kelihatan beberapa kali dia menggelisah melihat telefon. Sekejap keluar, sekejap masuk balik ke kedai. Macam hendak menegur sahaja isteri dan anaknya itu tentang jam di tangannya. Dekat 40 minit mereka di premis itu, belum usai juga urus niaganya.

Betah pula si Nira melayan Cik Na dan anaknya itu. Sekejap Cik Na nak yang lebar tapi terlebih bajet pula. Si anaknya pula kenan yang tebal tapi corak pula tidak menarik, katanya.

“ Tak ada ke yang gini, tapi corak bola takraw?” Cikgu beralih pula ke rantai leher. Nira yang jughuh itu layan semua kehendak Cik Na. Oh yalah, ‘Customer is always right’

“Rantai leher orang tak buat paten tu, Cik Na,” jelas Nira. Angguk. Mula gelang tangan sahaja, pindah ke rantai leher. Lepas itu cincin pula jadi tumpuannya. Lepas satu, satu!

“Kalau saya nak tolak cincin ini, berapa dapat? Boleh tambah-tambah,” dia lurut keluar cincin bentuk matahari dari jari kurusnya. Sekali pandang cantik lagi cincin yang bertatahkan berlian asli itu. Nira sambut dan letak ke neraca khas. Dia catat sesuatu di kertas seraya melirik senarai harga semasa. Di situ ada tertulis harga beli dan jual balik.

“Ini boleh dapat RM3,000 lebih sikitlah..,” kata Nira. Cik Na dan anaknya angguk-angguk setuju.

Kelihatan si anak seakan mempengaruhi ibunya untuk menjual. Dengan dapatan RM3K itu boleh pula ambil model lain. Kalau jadi rantai tadi ditolak lagi besar labanya nanti.

Itu kaedah Cik Na main emas. Beli barang kemas, pakai beberapa tahun, kemudian jual balik bila harga tinggi. Hasilnya akan dikira pula untuk beli yang baharu. Jadi tidak berlakulah soal membazir atau habiskan wang untuk beli emas baharu.

Bincang punca bincang jadilah Cik Na tolak seutas rantai basikal dan cincin itu. Beliau tukar dengan gelang yang lebih kasar dan corak baharu pula. Tengah hangat musim durian ini, dia pun ambil gelang dengan corak tersebut.

“Sudah Maghrib ini, kedai nok tutup dah,” si suami nganjing melampiaskan bosannya.

Ada lagi yang dia membebel tapi cikgu dan anaknya buat-buat tak dengar.

Kes ini lain sikit. Biarpun Cik Na dan anaknya berbelanja sakan, namun tok laki sikit pun tidak keluar modal. Dia temankan saja.

Jadi yang laki membebel itu bukan soal kena keluar duitlah. Bukan! Tapi bab lama menunggu. Rupanya si isteri itu tidak tahu memandu.

Patutlah si suami kena hantar ke mana jua pergi. Aduhai!

III

“Awak ini tak ada kerjaan lain ke, asyik beli emas, emas, emas! Berapa banyak lagi awak nak sangkut di leher tu? Nak balut lengan dengan gelang?

“Nak buh sepuluh jari dengan cincin? Saya tengok tak ada pun pakai semua. Asyik asyik yang itu itu juga!” Wah, panjang lebar juga orang lelaki kalau membebel ya.

Tahu pula Cik Na diam tak berdecit. Malas juga hendak layan depan rezeki itu. Selama ini si suami ikut saja ke mana dia minta hantar, bukan keluar duit pun. Cik Na bubuh nasi lauk gulai ikan aya.

“Maafkan Na, ya bang,” terpaksa mengaku juga dia. Sesekali kena bambu begitu elok juga.

Usai makan si suami berlalu ke ruang kerjanya. Lepas pencen adalah buat jual sikit. Tapi kata orang hendak niaga ini banyak cabaran. Banyak juga dia keluar modal, hampir licin wang ganjaran.

Rasanya sudah lengkap aneka bentuk emas yang dia ada. Daripada corak rantai basikal, perut ular, boba, hinggalah terkini coco dan durian.

Lepas ini tentu keluar design lain pula. Entahlah, itu kegemaran wanita, hendak cakap macam mana. Emas dan wanita berpisah tiada.

Tiba-tiba Cik Na terdengar bunyi suara suaminya marah-marah dalam telefon. Entah bercakap dengan siapa agaknya dia. Habis keluar semua tone soprano dari artikulasi. Cik Na sedia arif, memang lakinya itu agak celopar vokalnya.

“Berat nanangmu, kan aku dah minta uruskan!” antara ayat yang dapat didengar.

“Dah aku nok cari pitih mano?” lagi terdengar herdikan suaminya.

Lakinya itu memang panas baran. Kalau sudah marah habis natang – anjing, lembu semua keluar.

“Mapuhlah lagu ni!” frasa akhir itu amat mendesak bunyinya.

Cik Na intai dari lubang engsel pintu, nampak lakinya serba tidak menentu. Lalu menyandarkan torso endomorfnya ke kerusi reclainer.

Cik Na mendekat ketika dengkuran mula bermelodi daripada respirasi sang suami. Sempat juga dia membelek dan mengemas macam-macam kertas yang berterabur.

IV
“Sakit lagi kepala, bang,” Cik Na tuam tuala yang disejukkan ke dahi si suami. Sudah tua begini pantang ada masalah, terus migrain. Cik Na sudah bagi tahu agar berehat lepas bersara. Tapi dijawabnya bosan duduk saja.

“Tak boleh harap betul Budin tu,” dia luahkan apa yang terbuku.

Budin orang harapan uruskan perniagaannya. Namun macam selalu yang terjadi – scam, tidak amanah, salah guna dan macam-macam lagi.

“Mana abang nak kaut duit bayar hutang?” rungut si suami.

Cik Na picit-picit kepala lakinya. Kemudian dia letak sampul surat atas dada.

Lelaki itu terasa juga bebannya. Spontan pula kepalanya diangkat apabila melihat susunan wang di dalamnya.

“Apa ni Na? Na dapat dari?” Cik Na bantu suaminya yang masih dalam logamaya, sembari jarinya seakan mengira bilangan helaian ungu.

“Ni duit abanglah. Na dah tengok surat-surat bank itu.”

“Duit abang?” Si suami makin tertanya-tanya. Dia garu-garu kepada separa licin, cuba mengingat bila dia bagi.

“Ya, duit yang abang bagi bulan-bulan. Saya bukan guna buat apa, beli emas sajalah kerja saya.”

Macam pulang paku buah keras saja bunyinya. Berkedip-kedip kelopak mata renta tok laki menyorok faham.

“Emas itu simpanan, bang. Waktu terdesak kita boleh jual balik atau buat gadaian di ar-Rahnu.”

Sengaja Cik Na bagi celik akal kepada orang laki. Serta-merta pula mata suaminya itu cerah. Puing-puing masalah yang sedari tadi menyemak di sekeliling medan pandangannya, lari entah ke mana. Pening pun hilang.

Sebagai bekas bos, dia mudah menangkap apa yang tersirat di sebalik kata-kata isterinya.

Dengan muka bodoh, dia paut tengkuk Cik Na dan ‘Cepok!’ satu kucupan hinggap di pipi wanita yang masih boleh tahan lagi itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×