CTOS sokong PKS, dorong inovasi, pertumbuhan

CTOS sokong PKS, dorong inovasi, pertumbuhan

GOBIND Singh Deo (kiri) Kevin Loh ketika menyempurnakan gimik perasmian pada CTOS SME Biz Day 2025 di Grand Ballroom Nexus, Petaling Jaya, hari ini. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Credit Tip-Off Service (CTOS) menunjukkan komitmen syarikat itu dengan meraikan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) melalui penganjuran BizDay 2025 yang berlangsung kali ketiga di Nexus, Bangsar, hari ini.

Acara itu menyaksikan kemeriahan ratusan usahawan kecil dan sederhana berkumpul dalam memacu pertumbuhan ekonomi digital bersama melalui penekanan kepada digitalisasi dan kolaborasi strategik.

Ketua Pegawai Eksekutif Interim Kumpulan CTOS Digital Berhad, Kevin Loh berkata, CTOS bukan sekadar penyedia perkhidmatan laporan kredit tetapi rakan niaga yang bersedia mengiringi perjalanan transformasi perniagaan PKS di negara ini.

“Kita berdepan pelbagai perubahan seperti dasar kerajaan termasuk pemotongan subsidi dan kadar gaji minimum, cabaran kos dan persaingan global yang menuntut inovasi, ketangkasan dan penggunaan teknologi untuk terus berkembang,” katanya semasa menyampaikan ucapan sempena CTOS SME Biz Day di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Kevin turut memperkenalkan beberapa inisiatif CTOS termasuk platform Credit Manager dan sistem ETR (Electronic Trade Reference) yang membantu PKS menguruskan risiko kredit dan mempercepatkan proses jual beli secara digital.

“Digitalisasi bukan sekadar trend tetapi keperluan. Ia membantu kita bukan sahaja untuk menjangkau pelanggan baharu, malah mengurangkan kos operasi dan meningkatkan pengalaman pengguna,” jelasnya.

Beliau turut mengajak semua pihak untuk terus kekal hijau (dalam skor CTOS) melalui pengekalan kepada skor kredit yang positif sebagai simbol kecemerlangan dalam urus niaga dan kewangan.

“CTOS akan terus menjadi rakan perniagaan yang dipercayai dalam memastikan anda bukan sekadar bertahan, tetapi berkembang dalam landskap ekonomi yang mencabar ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi CTOS Data Systems, Lee Shin Mei menyeru semua pihak agar meningkatkan sokongan terhadap PKS kerana merupakan nadi ekonomi negara.

“PKS bukan sekadar penyumbang ekonomi, malah mereka adalah lambang impian dan sejarah keluarga rakyat Malaysia.

“PKS menyumbang 39 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menyediakan hampir 50 peratus pekerjaan dan mereka wajar diberikan perhatian sewajarnya dalam agenda digital negara,” ujarnya.

SME BizDay merupakan platform kolaboratif yang dibangunkan oleh CTOS sejak tiga tahun lalu bagi membantu PKS menangani cabaran unik seperti celik digital, pembiayaan dan penggunaan data untuk keputusan kewangan lebih bijak.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya