MELAKA: Sebuah syarikat peruncit barangan kucing terbesar di negara ini, Cat Supermarket, mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBOR) apabila melakukan prosedur pengembirian terhadap 202 ekor kucing dalam tempoh 24 jam.
Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu diadakan di premis utama Cat Supermarket di Paya Rumput, dengan kerjasama CS Vet Medical Centre serta jenama makanan haiwan antarabangsa, Brit Malaysia.
Pengarah Urusan Cat Supermarket, Datuk Chew Chert Fong berkata, pihaknya mengambil inisiatif tersebut diadakan bagi menangani isu lambakan kucing terbiar selain membantu mengurangkan beban pusat perlindungan haiwan serta penyelamat persendirian.
“Banyak kucing terbiar di pasar, kaki lima dan kawasan awam lain. Menerusi program ini kami bukan sahaja membendung pembiakan berlebihan malah meringankan beban kewangan mereka yang menyelamatkan dan memelihara kucing.
“Anggaran kos untuk seekor kucing jantan adalah RM200 termasuk pembedahan dan ubatan, menjadikan nilai keseluruhan manfaat program ini mencecah RM40,400,” katanya kepada pemberita selepas menerima sijil MBOR di Paya Rumput di sini semalam.
Sementara itu, ketua veterinar program tersebut, Dr. Juliyana Abu Sari memaklumkan, kesemua kucing telah menjalani saringan kesihatan sejak dua minggu lalu sebelum prosedur dilakukan secara berperingkat.
“Sebanyak 202 kucing jantan telah dikembiri dalam tempoh 24 jam oleh lima doktor veterinar dan tujuh pembantu prosedur. Ia melibatkan 60 ekor kucing dari tiga pusat perlindungan haiwan manakala bakinya adalah kucing jalanan yang diselamatkan dan haiwan peliharaan individu,” katanya. – UTUSAN










