BACHOK: Polis tidak menolak kemungkinan motif cemburu atau dendam menyebabkan seorang pemilik spa disimbah asid di Beris Kubur Besar di sini, Sabtu lalu.
Polis bagaimanapun tidak memperincikan perkara itu namun siasatan dijalankan dari segenap sudut.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaludin berkata, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti motif utama kejadian itu selepas seorang wanita yang berusia 38 tahun ditahan di Kuala Krai, dekat sini petang semalam.
Katanya, polis juga menjalankan siasatan sama ada suspek yang ditahan itu pernah berhubung dengan mangsa yang berusia 27 tahun sebelum kejadian.
“Kita akan menghantar telefon bimbit suspek ke Unit Forensik untuk dianalisis bagi mendapatkan maklumat lanjut. Kita sudah menunjukkan gambar suspek yang ditahan itu kepada mangsa, namun mangsa memaklumkan dia tidak mengenali wanita yang bekerja di kilang getah itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohamad Ismail berkata, siasatan masih lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti motif kejadian itu.
Katanya, polis sudah bertemu mangsa, namun wanita itu masih belum boleh bercakap selepas kejadian menimpanya. – UTUSAN