Capaian internet sepanjang LIMA’25 dipastikan terbaik

Capaian internet sepanjang LIMA’25 dipastikan terbaik

FAHMI Fadzil menyempurnakan gimik perasmian program Jelajah Kempen Internet Selamat Zon Utara di SK Ulu Melaka, Langkawi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memastikan capaian internet di beberapa lokasi sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25), di sini pada tahap baik.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pasukan SKMM akan ditempatkan di lokasi terlibat bagi memantau sebarang perkara berkaitan capaian internet.

“Kita jangkakan dalam tempoh perjalanan LIMA’25, ramai pengunjung yang akan hadir dan kita ingin pastikan pengalaman internet itu berada pada satu tahap yang lebih daripada memuaskan. 

“Setakat ini tidak timbul apa-apa isu mengenai capaian internet. Malah syarikat-syarikat telekomunikasi juga telah membantu dengan memasang sama ada ‘booster’ ataupun beberapa peralatan untuk meningkatkan capaian internet di beberapa lokasi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Jelajah Kempen Internet Selamat Zon Utara di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Melaka, di sini.

Tambah Fahmi,  beliau sendiri akan melawat ke lokasi panganjuran LIMA’25 esok bagi melihat sendiri keadaan dan kemudahan internet di situ.

Katanya, SKMM juga telah meletakkan pusat pemantauan komunikasi di lokasi penganjuran bagi memastikan tiada isu berkaitan capaian internet sepanjang tempoh pameran itu berlangsung.

LIMA’25 akan berlangsung mulai esok hingga 24 Mei ini di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) dan Resort World Langkawi (RWL).

Dalam pada itu, Fahmi memaklumkan, media dari rantau ASEAN akan dilibatkan sempena Hari Wartawan Nasional (Hawana) pada 3 Jun nanti.

“Saya telah minta dilibatkan lebih banyak media dari rantau ini sempena Kepengerusian ASEAN kerana Hawana bukan hanya bersifat nasional, tapi boleh jadi pemangkin kepada hubungan serta jaringan lebih baik dan lebih erat kepada organisasi media di rantau ASEAN,” ujarnya.

Jelasnya, dalam membentuk komuniti ASEAN, wartawan tempatan tidak boleh lari daripada mendapat maklumat dan berita daripada jiran-jiran ASEAN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN