PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad kekal memberi keterangan bela diri bermula Ogos ini dalam kes rasuah membabitkan tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.
Ia selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali yang bersidang bersama-sama Datuk Azizul Azmi Adnan dan Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid sebulat suara menolak permohonan pasangan untuk mendapatkan kebenaran bagi menyemak semula keputusan mahkamah terdahulu yang memerintahkan Bung Moktar dan Zizie Izette membela diri.
Pada 18 November 2024, Mahkamah Rayuan memerintahkan Bung Moktar dan isterinya, Zizie Izette untuk membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.
Pendakwaan memfailkan rayuan tersebut selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 7 September 2023 yang membebaskan Bung Moktar dan Zizie Izette daripada kesemua pertuduhan itu.
Pada 2 September 2022, Hakim Rozina Ayob telah memerintahkan mereka membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka di akhir kes pendakwaan.
“Kami (mahkamah), dalam melaksanakan kuasa untuk menyemak perlu berhati kerana ia bertentangan dengan prinsip muktamad (finality). Kuasa mahkamah untuk menyemak hanya boleh dilakukan dalam kes-kes luar biasa. Perlu ditunjukkan bahawa telah berlakunya ketidakadilan yang ketara dan pemohon tidak mempunyai sebarang alternatif.
“Dalam pemerhatian kami, pemohon (Bung Moktar dan Zizie Izette) masih mempunyai alternatif kerana isu yang ditimbulkan di hadapan kami masih boleh dikemukakan pada peringkat rayuan sekiranya Mahkamah Sesyen memutuskan untuk mensabitkan mereka.
“Atas alasan ini, kami berpandangan bahawa ambang keperluan (threshold requirements) untuk menyemak semula keputusan terdahulu tidak dipenuhi. Oleh itu, permohonan ditolak,”kata Hakim Che Ruzima ketika membaca penghakiman ringkas sebulat suara panel itu.
Selepas tamat prosiding, pasangan itu dilihat meninggalkan Istana Kehakiman dalam dua kenderaan berbeza.
Prosiding bela diri yang akan didengar di hadapan hakim baharu, Rosli Ahmad akan bermula pada 18 hingga 20 Ogos, 2 hingga 4 September dan 24 hingga 26 September 2025.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra, didakwa pada 3 Mei 2019 menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan agensi berkenaan supaya melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Beliau didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang pada 12 Jun 2015.
Pertuduhan ketiga, Bung Moktar didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar atas nama Zizie Izette untuk sebab dan tempat sama pada 19 Jun 2015.
Dalam pada itu, Zizie Izette turut didakwa bersubahat dengan beliau melakukan perbuatan itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. – UTUSAN