Bukit Aman gempur lokasi judi sabung ayam, loteri haram

Bukit Aman gempur lokasi judi sabung ayam, loteri haram

FADIL MARSUS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Kawasan hutan berhampiran Melwood Arena di Sungai Buloh yang dijadikan kaki judi sebagai lokasi perjudian sabung ayam dan loteri haram digempur Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman pada Ahad lalu.

Serbuan Op Dadu Mega itu dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman yang melakukan risikan sejak Oktober tahun lalu.

Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, dalam serbuan itu, pemantauan dari udara dengan bantuan dari Unit Dron, Pasukan Gerakan Udara PDRM turut digunakan bagi memantau aktiviti perjudian itu sebelum serbuan.

Ketika menyerbu masuk ke dalam hutan, pasukan serbuan membabitkan D7, Unit Anjing Pengesan (K9) JSJ dan Unit Veterinar Putrajaya melalui jalan yang tidak diwartakan (jalan tanah merah) dengan pada masa sama berpandukan informasi pemantauan dari udara oleh Unit Dron PDRM.

“Kami (polis) telah menahan 124 orang terdiri daripada 46 warga tempatan dan 78 warga Indonesia termasuk empat wanita.

“Serbuan sama turut membawa kepada rampasan 52 ayam hidup, (tujuh) ayam mati, (17) bilah senjata taji ayam diperbuat daripada besi dan satu alat penimbang berat bagi aktiviti sabung ayam,” katanya di sini.

Fadil berkata, pihaknya turut merampas wang tunai secara keseluruhan berjumlah RM145,855, peralatan perjudian permainan bola golek, loteri awam tanpa lesen.

Beliau berkata, seramai enam individu warga Indonesia yang disyaki penganjur aktiviti sabung ayam ini serta warga tempatan yang menganjurkan perjudian loteri haram turut ditahan. 

“Susulan tangkapan itu pihak polis sudah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, Seksyen 7(2) akta yang sama, Seksyen 32(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015, Seksyen 32(2) akta yang sama dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” jelasnya.

Beliau berkata, pada masa ini siasatan masih dijalankan.

“Orang ramai diminta untuk menyalurkan sebarang maklumat terutama membabitkan jenayah perjudian di kawasan masing-masing bagi membanteras jenayah ini daripada berleluasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN