'Bukan hendak pukul canang hal peribadi' - Utusan Malaysia

‘Bukan hendak pukul canang hal peribadi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HUBUNGAN istimewa antara primadona filem Melayu, Erra Fazira dengan ahli perniagaan, Ezwan Zain bukan rahsia.

Malah, keduanya selesa dan sedia berhadapan pertanyaan demi pertanyaan wartawan mengenai status percintaan mereka.

Peminat pasti menyedari yang Erra sekarang lebih terbuka bercakap soal perhubungan.

Berbanding dulu, aktres yang kekal jelita di usia 51 tahun ini dahulunya akan seboleh mungkin menyorokkan kisah percintaannya.

Erra sendiri mengakui yang dia kini sudah menjadi semakin matang.

Usia membuat dirinya tenang dalam menguruskan bermacam-macam hal, termasuklah pertanyaan-pertanyaan orang mengenai perkara peribadi.

“Bukanlah mahu pukul canang pasal hal peribadi. Tapi, perlu juga untuk saya jawab apabila diajukan pertanyaan.

“Saya cuma tak mahulah terlalu bercerita atau terlalu berahsia.

“Tak elok juga hebah-hebahkan perkara yang belum pasti. Jadi, yang boleh saya jawab, saya jawab,” jelasnya.

Ezwan baru-baru ini membuat pengakuan hubungannya dengan Erra yang terjalin sejak Ogos tahun lalu, menjadi semakin serius.

Pengakuan itu sekaligus meleraikan teka teki peminat mengenai siapa jejaka yang mencuri hati primadona itu.

Ditanya mengenai kesediaannya membawa hubungan itu ke fasa yang lebih serius, kata Erra, biar Tuhan yang tentukan.

“Sedia atau tidak, saya jalani sahaja aturan Allah S.W.T. Kita merancang, tapi bukan yang menentukan,” kongsinya.

ERRA TAK COMPLAINT

Nakal sungguh netizen sampai ada yang tegur Mr E agar perbaiki penampilan jika mahu bergelar kekasih Erra Fazira.

Bila diminta pendapat tentang komen-komen netizen itu, Erra tertawa kecil. Katanya, pandangan orang berbeza. Tak sedap di mata netizen, tetap indah di mata Erra.

“Saya tak ada isu, malah saya terbuka dan hormati penampilan setiap orang. Citarasa dan selera kita berbeza.

“Pernah juga dia (Mr. E) bertanya kepada saya, perlu atau tidak dia mengubah gaya rambutnya. Kata saya jangan.

“Biarlah dia selesa dengan penampilannya. Saya tak pernah complaint. Saya terima seadanya dia.

“Susah kita kalau dengar pendapat seribu orang. Huru hara nanti jadinya. Oleh itu, jadilah diri sendiri. Tak perlu ‘goyang’ dengan kata-kata orang,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN