KEPALA BATAS : Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dijumpai lemas selepas terjatuh ke dalam sungai di Kota Aur, Kuala Muda, Penaga di sini, malam ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 7.24 malam.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Muda yang terdiri daripada lapan anggota termasuk penyelia kemudian dikejarkan ke lokasi kejadian bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.
“Setibanya di lokasi, didapati mangsa, Muhammad Aidil Firash Khairul Azman, telah berjaya diselamatkan lebih awal oleh orang awam.
“Kanak-kanak malang itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan di situ tidak lama kemudian sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini.-UTUSAN