PETALING JAYA: Malaysia perlu membina kekuatan dalaman dan daya tahan ekonomi domestik demi memacu kejayaan negara setiap aspek.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim justeru menggesa generasi muda terus menimba ilmu dan mencari kaedah serta pendekatan baharu bagi mengurangkan kebergantungan kepada negara luar.
Malah beliau berkata, Malaysia perlu mempunyai dasar yang jelas dalam pengggunaan sumber tenaga dan kepakaran tempatan dengan memberi keutamaan dalam setiap urusan pembangunan dan perniagaan.
“Kita bukan hanya bergantung kepada kekuatan luar, sebaliknya perlu membina kekuatan dalaman terlebih dahulu atau disebut daya tahan ekonomi domestik (domestic economic resilince).
“Walaupun kita menggunakan teknologi asing, kaedah baharu perlu dicari dan ini ditentukan anak muda.Mereka (generasi muda) mesti kuasai ilmu yang lebih baik daripada generasi masa kini.
“Saya bagi contoh kadar tarif solar Amerika Syarikat (AS) yang dinaikkan terlalu tinggi. Adakah kita perlu serang balik (menaikkan tarif sebagai timbal balas) ? jawapannya tidak.
“Sebaliknya kita galakkan guna solar tempatan di hospital dan sekolah.Ini keupayaan kita” katanya dalam Majlis Peluncuran Pekerjaan Dan Penyerahan Surat Tawaran PLKI-ECRL Bagi Fasa Pengoperasian Dan Penyelenggaran (O&M) ECRL di Kuala Lumpur hari ini. –UTUSAN