Bersama sertai Sekolah Rintis Bangsa Johor

Bersama sertai Sekolah Rintis Bangsa Johor

TUNKU Mahkota Ismail menerima tabik hormat ketika memeriksa perbarisan sebelum merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat DUN Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berharap kerajaan Persekutuan dapat bersama menyertai inisiatif Johor dalam membangunkan modal insan berkualiti tinggi menerusi pelaksanaan Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ).

Baginda bertitah agar kerajaan negeri tidak berpuas hati dengan sistem pendidikan sedia ada.

“Kita juga tidak boleh berpuas hati dengan sistem pendidikan yang statik, yang ke­tinggalan zaman. Saya berharap kerajaan Persekutuan juga bersama-sama menyertai inisiatif Johor dalam membangunkan modal insan berkualiti tinggi.

“Pendidikan untuk bangsa Johor adalah sangat penting dan saya berpandangan pendidikan berkualiti tinggi akan melahirkan bangsa Johor yang berdaya saing, di peringkat domestik dan global.

“Saya berasa gembira apabila cetusan idea saya untuk mewujudkan SRBJ dilaksanakan kerajaan negeri dan saya mengharapkan SRBJ bakal menjadi model bagi pendekatan pendi­dikan negeri yang lebih inklusif dan progresif,” titah baginda semasa merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini, semalam.

Inisiatif SRBJ bermula tahun ini membabitkan empat sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Puteri 2, SMK Tasek Utara, Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Puteri 4 dan SK Tasek Utara.

Minggu lalu, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kejayaan pelajar SRBJ bukan bergantung kepada murid, guru, kementerian dan negeri semata-mata, malah peranan ibu bapa turut memainkan peranan.

“Kalau sekolah rintis ini berjaya, insya-Allah kita boleh buat lagi untuk banyak sekolah. Terdapat lebih 1,100 sekolah di Johor yang boleh dilihat,” katanya.

Tunku Mahkota Ismail turut bertitah, seramai 90 guru telah dihantar untuk mengikuti kursus di Singapura bagi memperkasakan kemahiran dan model pengajaran serta pem­belajaran tenaga pengajar.

Selain pendidikan berkualiti tinggi, baginda bertitah, institusi kekeluargaan juga sangat penting dalam membentuk nilai dan jati diri anak-anak bangsa Johor sebelum mereka melangkah ke alam persekolahan dan masyarakat.

Titah baginda, bangsa Johor mesti kekal teguh dengan identiti yang unik, progresif dan berdaya saing, namun tidak pernah melupakan akar budaya dan nilai tradisi negeri ini.

“Saya ingin melihat bangsa Johor yang tinggi sahsiah diri, pa­triotisme dan setia kepada negeri ini. Oleh itu, saya menyeru agar Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri dapat merangka pelbagai inisiatif untuk memperkukuhkan lagi nilai dan jati diri bangsa Johor merentasi semua peringkat umur,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN