Berlaku salah faham, Yassin Senario tidak bawa dadah ke Arab Saudi - Utusan Malaysia

Berlaku salah faham, Yassin Senario tidak bawa dadah ke Arab Saudi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelawak, Yassin Senario menjelaskan penahanannya di Arab Saudi beberapa bulan lepas bukan disebabkan penyalah gunaan dadah.

Kata pelawak berusia 47 tahun itu, sebaliknya berlaku salah faham terhadap barangan peribadi yang dibawanya ke negara itu sehingga mengakibatkan dia ditahan enam bulan di sana.

“Sebelum berlepas ke Arab Saudi,  saya beli rokok kertas, ‘grinder’ dan sekotak rokok di lapangan terbang sebab saya terfikir macam mana saya nak merokok di sana.

“Setibanya di lapangan terbang, beg saya diperiksa ketika transit di Madinah. Kastam Arab Saudi mengesan sesuatu lalu mengarahkan saya buka beg. Kemudian pegawai berkenaan pegang ‘grinder’ saya itu yang tertera lambang mencurigakan lantas mereka selongkar beg saya.

“Saya jelaskan, benda yang saya bawa itu adalah rokok dan saya minta mereka jalankan ujian air kencing jika timbul keraguan. Pada masa sama saya minta mutawif yang bertugas tinggalkan saya agar rombongan tidak terlepas penerbangan penerbangan.

“Kemudian barulah  saya dibawa ke sebuah bilik untuk disoal siasat,” katanya dalam podcast Darkcast bersama Saiful Apek yang disiarkan semalam.

Yassin selamat pulang ke tanah air pada minggu lalu selepas enam bulan ditahan di Arab Saudi.

Kata pemilik nama penuh Yassin Yahya itu, kedatangannya ke Arab Saudi adalah atas tajaan sebuah agensi pelancongan dan umrah tempatan untuk menunaikan ibadah tersebut bersama 24 artis veteran lain.

“Saya teruja dan fikir inilah kesempatan untuk melakukan umrah. Saya ada kerja, tapi bila fikir balik, ini peluang yang saya tunggu.

“Saya tanya minta pandangan isteri dan mak saya. Mak kata baru semalam dia doa agar salah seorang anak dapat pergi umrah. Saya rasa ini petanda.

“Tapi saya tak sempat hadir kursus. Saya hanya belajar dalam tempoh singkat dengan merujuk YouTube. Masa itu Senario baru menang Artis Komedi Popular, jadi saya nak wakili kami untuk berdoa di Tanah Sudi,” ujarnya.

Yassin bagaimanapun tidak menyangka dia bakal menjadi tahahan di lokap khas yang menempatkan tahanan dadah.

“Saya sangka  dilepaskan selepas disoal siasat. Sebaliknya saya digari sebelum dibawa ke balai polis Jeddah dengan menaiki kenderaan polis. Pada masa sama beg dan telefon saya dirampas.

“Saya tak tahu apa salah saya. Sepatutnya saya ditahan sejak di Malaysia kalau lambang pada barang perbadi saya itu yang menjadi isu. Masa itu saya hanya berserah dan berzikir dalam hati, minta pertolongan Allah,” ceritanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN