Bekas pengurus Ladang Rakyat Terengganu didenda RM22,143, penjara sehari

Bekas pengurus Ladang Rakyat Terengganu didenda RM22,143, penjara sehari

SHAHRIZAL Ridzuan Ambak yang  mengaku salah atas tuduhan salah guna kuasa dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini.  - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang bekas pengurus Bahagian Sumber Manusia Ladang Rakyat Terengganu dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM22,143 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kesalahan salah guna kuasa, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Shahrizal Ridzuan Ambak, 48, mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut sejurus selepas dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Azhar Othman.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan jawatannya bagi mendapat suapan dengan membekalkan  kad sim kepada 117 pekerja ladang warga India bernilai RM4,428.60.

Shahrizal Ridzuan didakwa mempunyai kepentingan bagi urusan itu disebabkan ejen pembekalan kad sim adalah anaknya. Kesalahan itu dilakukan tertuduh di Ladang Rakyat Terengganu, Cheneh, Kemaman antara Julai sehingga September 2022.

Oleh itu, tertuduh melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM22,143 dan jika gagal bayar boleh dipenjara selama lima bulan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Nur Mahirah Mohd. Fauzi manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Hazwan Hamidun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN