JASIN: Seorang lelaki yang baru sahaja empat bulan dibebaskan dari penjara sekali lagi dicekup polis selepas dipercayai mencuri kad akses milik Telekom Malaysia (TM) bernilai lebih RM168,000.
Suspek berusia 44 tahun itu diberkas selepas dikejar polis sejauh lima kilometer bermula dari Kampung Simpang Kerayong hingga Kampung Kerubi Kemenung, di sini, sekitar pukul 2.30 pagi, 19 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Mohamad Rusli Mat berkata, suspek yang memandu Toyota Wish berwarna kelabu dengan nombor pendaftaran palsu bertindak melarikan diri sebelum keretanya terbabas.
“Anggota kami berjaya menahannya selepas berlaku pergelutan dan hasil pemeriksaan menemui 42 keping kad akses TM serta peralatan yang dipercayai digunakan untuk memecah kotak rangkaian telekomunikasi.
“Siasatan mendapati suspek mempunyai 30 rekod lampau melibatkan 24 kes jenayah dan enam kes berkaitan dadah dan baru bebas dari penjara pada Januari lalu serta didapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin hari ini.
Tambah Mohamad Rusli, kad akses berkenaan penting untuk agihan internet di sesuatu kawasan, dan kecuriannya boleh menyebabkan gangguan perkhidmatan kepada pengguna.
“Suspek dipercayai aktif mencuri komponen TM di kawasan terpencil dengan menyasarkan kabinet rangkaian yang diletakkan di tepi jalan atau kawasan perumahan.
“Kenderaan digunakan juga dipercayai kereta klon kerana tiada rekod dalam sistem JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan),” katanya.
Suspek kini direman empat hari sehingga 22 Mei ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 379 dan 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 42 dan Seksyen 108(3)(F) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mohamad Rusli berkata, sebanyak 11 kes kecurian kad akses TM direkodkan di Melaka sejak awal tahun ini dan pihaknya percaya kegiatan itu didalangi sindiket lebih besar yang sedang diburu. – UTUSAN