Bekas ahli perniagaan wanita rugi hampir RM1 juta angkara ‘kekasih Yemen’ - Utusan Malaysia

Bekas ahli perniagaan wanita rugi hampir RM1 juta angkara ‘kekasih Yemen’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang wanita berputih mata apabila kerugian RM925,850 selepas diperdaya seorang lelaki mengaku dari Yemen yang dikenali menerusi Facebook sejak 26 Januari tahun lalu.

Mangsa berusia 53 tahun dan merupakan bekas ahli perniagaan itu turut menerima dua bentuk cincin dikirim lelaki itu yang turut berjanji akan mengahwininya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah, Superintenden Loi Yew Lik berkata, mangsa mula dipedaya apabila lelaki itu memaklumkan dia terpaksa dimasukkan ke hospital.

Katanya, lelaki itu kemudian meminta mangsa meminjamkan wang untuk membiayai kos rawatannya pada 5 Februari tahun lalu.

“Atas dasar percaya dan cinta, mangsa telah memasukkan wang secara berperingkat sejak tarikh itu hingga 25 Mac tahun ini berjumlah RM925,850 menerusi 166 transaksi ke dalam 15 akaun bank berbeza.

“Individu itu berjanji akan membuat bayaran balik dan akan datang ke Malaysia untuk berkahwin dengannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yew Lik berkata, mangsa akhirnya menyedari ditipu apabila mendapati lelaki berkenaan tidak datang ke Malaysia selain akaun Facebooknya turut disekat oleh suspek.

Katanya, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda pada pukul 10.49 pagi semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN