KUALA LUMPUR: Seramai 12 individu termasuk seorang wanita tempatan berusia 18 hingga 43 tahun, ditahan dalam Ops Khas 30/24 kerana disyaki terlibat dalam sindiket Love Scam dan judi dalam talian.
Kegiatan sindiket berkenaan yang menjadikan kediaman sekitar ibu negara sebagai pusat operasi mereka, berjaya dilumpuhkan pihak berkuasa dalam serbuan pada 16 Mei lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, turut dirampas sembilan unit laptop, 33 unit telefon bimbit, barangan kemas, jam tangan mewah dan pelbagai mata wang.
“Hasil pemeriksaan dan penelitian barang kes mendapati sindiket tersebut telah beroperasi sejak April lalu.
“Bagi memperdaya mangsa, sindiket mencipta akaun media sosial palsu melalui Facebook serta Instagram dan seterusnya berkenalan dengan mangsa dalam kalangan rakyat Amerika Syarikat,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di sini, hari ini.
Menurut Ramli, mangsa kemudiannya akan ditawarkan pautan judi dalam talian seterusnya akan kehilangan kesemua wang dipertaruhkan.
“Kesemua individu yang ditahan berperanan sebagai ejen pusat panggilan dan menerima gaji sebanyak RM2,500 sebulan serta empat peratus komisen daripada jumlah kerugian mangsa mereka,” katanya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN










