HULU SELANGOR : Lega apabila kes pukul bekas isterinya, Nurul Shuhada, telah selesai, pelakon, Hafidz Roshdi, mengakui kini dapat memberi tumpuan kepada kerjaya seninya.
Hampir dua tahun tidak aktif berlakon, Hafidz berkata, dia kini memasang hasrat untuk kembali berlakon dan terbuka kepada sebarang tawaran.
“Selagi ada tawaran, selagi pihak produksi masih mahukan saya dan ada permintaan, saya on sahaja.
“Itu memang saya minat daripada dulu, kerjaya seni saya, tak pernah saya sekat,”ujarnya.
Dalam pada itu, Hafidz mengakui masih menerima tawaran daripada pihak produksi walaupun kes tersebut masih lagi berjalan sebelum ini.
Menurut pelakon ini, kes itu tidak menganggu kerjaya seni namun tidak menolak bahawa persepsi salah orang membimbangkannya.
“Dari segi kerjaya saya masih lagi menerima tawaran. Masih ada penerbit yang tanya khabar.
“Penerbit masih beri tawaran kepada saya, cuma saya sahaja yang ragu-ragu sebab kes saya masih berjalan.
“Saya tidak mahu disebabkan saya berlakunya pelbagai kontroversi tercetus dan perkara tidak baik berlaku sebab saya sendiri,”katanya.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Hafidz berkata, dia sering menerima kecaman buruk walaupun sebelum kes itu berlaku kerana perceraiannya bersama Shuhada.
“Sebelum kes ini pun saya masih menerima persepsi buruk. Selepas kes ini selesai, saya harap semua kecaman dan persepsi itu dihentikan,”katanya.
Terdahulu, mahkamah hari ini memerintahkan Hafidz dilepaskan dan dibebeaskan selain jaminan akan dikembalikan berkaitan kes pukul bekas isteri iaitu Nurul Shuhada.
Pada 30 April, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam memberikan hak lawatan sementara kepada Hafidz di mana dia dibenarkan untuk melawat anak-anaknya sepanjang cuti persekolahan hujung Mei ini.
Keputusan itu dibuat sementara menantikan keputusan induk hadanah yang dijadualkan didengar pada 29 Julai ini.—UTUSAN