SEGAMAT: Seorang bayi yang dibalut dengan kain batik kotor ditemukan dalam keadaan dihurung semut di sebuah rumah di Felda Redong, dekat sini.
Menurut Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah, pihak polis menerima laporan daripada pemilik kediaman terbabit yang berusia dalam lingkungan 60-an.
“Lelaki berkenaan memaklumkan terdengar bunyi tangisan bayi berkenaan pada pukul 7.45 malam, Sabtu lalu.
“Dia kemudian menemukan bayi lelaki di tangga rumah dengan dibaluti kain batik, kotor dan bersemut ketika keluar ke masjid untuk menunaikan solat Maghrib.
“Dia kemudian membersihkannya sebelum membawa bayi ke dalam rumah dan menghubungi anak perempuannya bagi memaklumkan kejadian itu,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Segamat, di sini hari ini.
Ahmad Zamry berkata, bayi lelaki itu dipercayai baru dilahirkan berdasarkan keadaannya yang masih bertali pusat dan mempunyai kesan darah.
“Tiada sebarang nota ditinggalkan sekitar lokasi penemuan bayi tersebut. Bayi tersebut kini di Hospital Segamat untuk pemeriksaan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi (menyembunyikan kelahiran),” katanya.
Beliau memohon kerjasama orang ramai awam yang mempunyai maklumat membantu siasatan kes tersebut.-UTUSAN