CALIFORNIA: Lebih 300 anggota bomba dikerahkan untuk memadamkan kebakaran besar di California, ketika kebimbangan terhadap kebakaran hutan musim panas memuncak.
‘Kebakaran Madre’ tercetus pada Rabu di San Luis Obispo, sebuah daerah di tengah negeri AS itu.
Sekitar 200 penduduk diarahkan berpindah, dengan puluhan bangunan diancam kebakaran.
Ia merupakan kebakaran terbesar setakat tahun ini di California, yang sebelum ini dilanda siri kebakaran hutan yang memusnahkan kawasan luas di Los Angeles pada awal tahun.
Kebakaran itu merebak dengan cepat, dalam tempoh 24 jam, lebih 21,000 hektar musnah, menurut perkhidmatan bomba negeri, Cal Fire.
Imej daripada sistem amaran negeri menunjukkan kepulan asap hitam tebal menyelubungi kawasan pergunungan di wilayah berbukit dan terpencil itu.
“Negeri ini akan sentiasa bersedia untuk melindungi semua masyarakat, tidak kira di mana kebakaran bermula,” kata Gabenor California, Gavin Newson di platform X.
Kebakaran Madre tercetus ketika California masih belum pulih sepenuhnya daripada beberapa siri kebakaran sebelum ini, mencetuskan kebimbangan bahawa musim panas kali ini menjadi antara paling mencabar, selepas tragedi kebakaran Januari lalu meragut 30 nyawa.
Ini juga musim panas pertama sejak Presiden Donald Trump mengarahkan pemotongan bajet dan tenaga kerja bagi Perkhidmatan Hutan, Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) dan FEMA, agensi persekutuan yang menyelaras tindak balas bencana.
Rabu lalu, Newsom menuduh Trump gagal membiayai projek pencegahan kebakaran hutan yang mencukupi.
“Kita perlukan komitmen sumber yang setara, bukan sekadar retorik,” kata Newsom dalam sidang media, sambil mengingatkan 57 peratus daripada tanah negeri itu berada di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan.- AFP









