KUALA LUMPUR: Seorang wanita mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersubahat dengan teman lelakinya yang juga seorang warga emas merogol anak perempuannya berusia 12 tahun, tahun lalu.
Ibu kandung mangsa, 37, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Norshila Kamarudin.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa bersubahat dengan teman lelakinya yang bekerja sebagai peniaga nasi lemak berusia 61 tahun merogol anak perempuannya ketika kejadian berusia 12 tahun 4 bulan di sebuah rumah di Taman Seraya, di sini pada jam 4 petang, sekitar pertengahan tahun lalu.
Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan serta boleh dihukum mengikut Seksyen 376(1) kanun sama.
Pada prosiding sama, teman lelaki wanita itu turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan didakwa merogol mangsa pada tempat dan tarikh yang sama.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376(1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Hairul Iqram Hairuddin mencadangkan agar tiada jaminan diberikan kepada kedua-dua tertuduh atas alasan lelaki tersebut mempunyai hubungan dengan ibu mangsa.
Tambah pendakwa raya itu, mangsa kini berada dalam jagaan ibu saudaranya dan bimbang akan berlaku gangguan terhadap mangsa sekiranya jaminan dibenarkan.
Mahkamah kemudian tidak menawarkan sebarang jaminan kepada kedua-dua tertuduh dan menetapkan 7 Ogos ini bagi sebutan semula kes, serahan dokumen dan lantikan peguam.
Pada 27 Jun lalu, wanita itu bersama teman lelakinya ditahan selepas disyaki terlibat dalam kes rogol melibatkan kanak-kanak perempuan di Pandan Indah, di sini.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, kanak-kanak yang sedang tidur di katil ibunya telah dicabul dan dirogol oleh kekasih ibunya, sambil diperhatikan wanita itu. – UTUSAN











