HULU TERENGGANU: Kementerian Kerja Raya dalam proses mendapatkan peruntukan dan kos tambahan bagi membaiki Jalan Aring 8- Kenyir-Kuala Jeneris yang runtuh semasa musim tengkujuh lalu.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pihaknya memerlukan kos tambahan daripada Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan memandangkan kos baik pulih laluan itu yang dianggarkan RM36 juta agak tinggi.
“Kita akan bawa permasalahan laluan yang runtuh ini ke mesyuarat pasca Kabinet esok bagi memastikan ia dapat diperbaiki segera agar memudahkan hubungan terutama dari Cameron Highlands, Perak dan Gua Musang untuk ke sini.
“Petang ini saya akan adakan perjumpaan dan perbincangan dengan Jabatan Kerja Raya Terengganu. Esok saya akan bawa ke dalam pasca Kabinet kementerian.
“Kos baiki atau baik pulih tinggi, kita perlukan kos tambahan daripada kementerian berkaitan dan itu yang agak mengambil masa,” katanya ketika ditemui pemberita sempena lawatan kerja di Akademi Binaan Malaysia Wilayah Timur (ABMWT) di di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Kerajaan Negeri Terengganu memohon peruntukan sebanyak RM36 juta untuk membaiki Jalan Aring 8-Kenyir-Kuala Jeneris yang runtuh di Kilometer 187 hingga 189 sewaktu musim tengkujuh lalu.
Sementara itu, Ahmad Maslan berkata, berdasarkan statistik bermula 1998 sehingga Disember tahun lepas, ABMWT telah melatih seramai 43,764 orang dalam program-program belia dan personel binaan manakala CIDB Technologies pula merekodkan 10,295 pelatih. – UTUSAN