Azalina hargai sumbangan Nurul Izzah dalam isu Gaza

Azalina hargai sumbangan Nurul Izzah dalam isu Gaza

AZALINA OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menghargai sumbangan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar atas sokongan berterusan dalam memperjuangkan nasib rakyat Gaza.

Azalina berkata, perjuangan tersebut disifatkan bukan sahaja melibatkan isu agama, politik atau sempadan negara, malah merupakan satu perjuangan demi kemanusiaan sejagat.

“Kita teruskan komitmen ini demi dunia yang lebih adil dan berperikemanusiaan.

“Malaysia sememangnya sesuai untuk memainkan peranan ini kerana kita telah membuktikan mampu bersatu sebagai satu suara, walaupun datang dari latar belakang berbeza,” katanya menerusi kenyataan dalam Facebook, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Azalina turut mengucapkan tahniah kepada Nurul Izzah atas pencalonannya sebagai Timbalan Presiden PKR sempena pemilihan parti itu.

Jelasnya, pencalonan itu dilihat sebagai pembuka ruang lebih luas kepada penyertaan wanita dalam arus perdana politik negara.

“Tahniah atas pencalonan sebagai Timbalan Presiden PKR. Semoga ini menjadi titik permulaan untuk lebih ramai wanita tampil dalam politik arus perdana. You go, girl!” katanya.

Azalina turut memberikan ucapan istimewa sempena Hari Ibu kepada Nurul Izzah, bagi menghargai peranan beliau bukan sahaja sebagai pemimpin, tetapi juga sebagai seorang ibu yang cekal dan berinspirasi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN