KUALA LUMPUR: Kehadiran ramai pemimpin negara-negara Majlis Kerjasama Teluk dan China menjadi antara faktor utama pelaksanaan kawalan keselamatan berintensiti tinggi menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang bakal berlangsung di ibu negara pada 26 hingga 27 Mei ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kehadiran delegasi berprofil tinggi tersebut mendorong pelaksanaan pelbagai langkah keselamatan termasuk penutupan beberapa laluan utama sekitar Lembah Klang oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di 71 buah sekolah terlibat.
“Langkah-langkah ini adalah perlu bagi menjamin kelancaran dan keselamatan persidangan. Saya akui ada rungutan orang ramai berkenaan penutupan laluan, tetapi ini memerlukan kerjasama semua pihak.
“Saya mohon supaya syarikat-syarikat swasta juga mempertimbangkan untuk membenarkan pekerja mereka bekerja dari rumah. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri sudah menyarankan perkara ini sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mingguan selepas meninjau Pusat Media Antarabangsa Sidang Kemuncak ASEAN-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Menurut Fahmi, kehadiran pemimpin GCC dan China juga menunjukkan kejayaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dalam memposisikan rantau ini sebagai blok yang penting di mata kuasa-kuasa global.
“Ini bukan peluang yang datang selalu. Sekretariat Sidang Kemuncak ASEAN dan Kementerian Luar telah berusaha keras untuk meyakinkan pemimpin-pemimpin besar ini untuk hadir ke Kuala Lumpur. Ia merupakan satu kejayaan besar buat negara,” ujarnya.
Tambah beliau, penganjuran sidang kemuncak kali ini jauh berbeza berbanding 10 tahun lalu dari segi skala dan penglibatan antarabangsa.
“Ketika itu (10 tahun lalu), negara-negara GCC belum aktif bersama ASEAN dan hanya China yang terlibat secara langsung.
“Tapi kali ini, kita berjaya menghimpunkan pemimpin GCC dan China dalam satu platform. Ini menunjukkan komitmen Malaysia terhadap pengukuhan hubungan serantau dan antarabangsa,” katanya.
Minggu lalu, Fahmi turut menyarankan orang ramai di Lembah Klang menggunakan pengangkutan awam sepanjang penganjuran sidang kemuncak itu yang akan berlangsung di KLCC. – UTUSAN