ASEAN beri gambaran setuju terima Timor-Leste anggota tetap - Utusan Malaysia

ASEAN beri gambaran setuju terima Timor-Leste anggota tetap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: ASEAN memberi gambaran persetujuan untuk menerima Timor-Leste sebagai anggota penuh blok serantau itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, bagaimanapun,  peranan perlu segera dimainkan negara tersebut untuk memenuhi segera instrumen undang-undang yang ditetapkan.

Katanya, banyak lagi instrumen undang-undang perlu dilaksanakan Timor Leste sebelum diiktiraf sebagai anggota penuh ASEAN.

“(Timor-Leste akan menjadi anggota tetap Oktober ini?) saya kata berharap..tetapi kita akan cuba yang terbaik untuk membantu Timor-Leste sebab kebanyakan negara ASEAN ingin melihat Timor-Leste menjadi sebahagian di antara keluarga kita, tetapi Timor-Leste perlu bekerja kuat untuk memenuhi segala pra syarat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Menteri Luar sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.

Malaysia sebelum ini dilaporkan telah memohon untuk melonggarkan prasyarat yang ditetapkan ke atas Timor-Leste bagi mempercepatkan proses negara itu menjadi anggota penuh ASEAN menjelang hujung tahun ini.

Berdasarkan peraturan sedia ada, terdapat 88 prasyarat ditetapkan yang perlu dipenuhi oleh Timor-Leste sebelum boleh menjadi ahli penuh rantau ini.

Sebelum sidang akhbar itu diadakan, Mesyuarat Menteri Luar ASEAN (AMM) telah bersepakat menerima garis panduan bagi memudahkan penyertaan Timor-Leste ke dalam Instrumen Undang-Undang blok itu.

Berdasarkan kenyataan media Kementerian Luar, perkembangan itu sekali gus menandakan kemajuan berterusan ke arah keanggotaan penuh Timor-Leste dalam ASEAN di bawah AMM.

Mengulas perkembangan itu, Mohamad berkata, Timor-Leste perlu melengkapkan instrumen undang-undang sebelum menjadi anggota tetap negara ASEAN yang dijangka dimuktamadkan pada Oktober depan.

“Kita sudah lihat 84 instrumen dan turunkan kepada 66 instrumen, kebanyakkanya bawah Majlis Ekonomi ASEAN, bawah Mesyuarat Majlis Komuniti Politik- Keselamatan ASEAN (APAC) sudah buat.

“Jadi, ia bawah ekonomi (perlu dipenuhi). Timor Leste perlu berusaha dan kita cuba membantu untuk mereka dapat mematuhi instrumen undang-undang tersebut.Kita juga meneroka cadangan supaya jika Timur Leste tidak boleh buat, kita bagi dia jangka masa.

“Ini terpulang kepada kepimpinan negaranya, kemudian mereka boleh penuhi (instrumen undang-undang), katakan dalam masa lima tahun, jadi ini cara untuk kita pastikan mereka bersama ASEAN tahun ini,” katanya.

Sejak diberikan status pemerhati pada 2022 dan menerima kelulusan dari segi dasar untuk menjadi anggota ke-11 ASEAN, Timor-Leste telah mengambil langkah proaktif dalam melaksanakan pelan hala tuju keanggotaan.

Timor-Leste telah berusaha untuk menjadi anggota ASEAN sejak 2011, dengan sokongan daripada ASEAN dalam membantu negara itu memenuhi keperluan keanggotaan.

Pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan 41 pada November 2022 di Phnom Penh, Kemboja pada dasarnya bersetuju Timor-Leste menjadi anggota ke-11, dengan syarat negara itu memenuhi kriteria digariskan dalam Pelan Hala Tuju Keanggotaan Penuh.

Malah, Malaysia dan Laos ini turut mengulangi sokongan mereka terhadap keanggotaan penuh Timor-Leste dalam ASEAN dan menyeru usaha yang lebih giat dan inklusif untuk menangani krisis berpanjangan di Myanmar. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN