HAVANA: Seramai 32 warga Cuba terbunuh dalam serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas Caracas yang berakhir dengan penahanan Presiden Venezuela, Nicolás Maduro, menurut kerajaan di Havana.
“Akibat serangan jenayah yang dilakukan oleh kerajaan ASterhadap Venezuela, seramai 32 rakyat Cuba terkorban dalam operasi pertempuran,” kata kerajaan Cuba dalam satu kenyataan yang dibacakan di televisyen nasional.
Mereka yang terkorban merupakan anggota Angkatan Tentera Revolusi Cuba atau Kementerian Dalam Negeri yang sedang menjalankan misi atas permintaan agensi rakan sejawat, menurut pegawai Cuba.
Dalam satu operasi ketenteraan AS yang mengejutkan pada Sabtu, Maduro dibawa keluar dari Caracas bersama isterinya, Cilia Flores untuk menghadapi pertuduhan pengedaran dadah dan keganasan di sebuah mahkamah di New York pada Isnin.
Kenyataan rasmi Cuba menegaskan para anggota tersebut telah menunaikan tugas mereka dengan penuh maruah dan kepahlawanan, dan gugur selepas melakukan penentangan sengit dalam pertempuran langsung dengan pihak penyerang atau akibat pengeboman yang dilakukan oleh AS.
Havana mengisytiharkan tempoh berkabung nasional selama dua hari bermula subuh Isnin, serta berjanji untuk menganjurkan upacara penghormatan.
“Maruah dan kemuliaan kepada para pejuang berani Cuba yang gugur berdepan pengganas berseragam imperialis,” tulis Presiden, Miguel Díaz-Canel di platform X.-AFP











