GEORGE TOWN: Pulau Pinang menyambut baik cadangan untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal penuh pada sesi Parlimen tahun ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, langkah itu merupakan satu reformasi institusi yang penting dalam usaha memperkukuh amalan demokrasi serta memastikan tadbir urus negara dilaksanakan secara lebih telus dan berintegriti.
“RUU berkaitan merupakan salah satu langkah reformasi institusi yang amat penting dalam memperkukuh amalan demokrasi dan memastikan tadbir urus negara berlangsung dengan lebih telus serta berintegriti,” katanya di sini, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memaklumkan, kerajaan akan membentangkan rang undang-undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak lebih 10 tahun atau dua penggal penuh iaitu sebahagian daripada langkah untuk mereformasikan kerajaan.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, pembaharuan itu mencerminkan komitmen Kerajaan Madani dalam menunaikan janji untuk terus memperkukuh agenda reformasi demi memastikan kemakmuran negara dapat dinikmati oleh semua lapisan rakyat.
“Cadangan ini juga selari dengan langkah kerajaan negeri Pulau Pinang yang menjadi negeri pertama melaksanakan had tempoh lantikan Ketua Menteri kepada dua penggal selepas pindaan Perkara 7 Fasal 2(a)(ii) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang diluluskan pada 16 November 2018,” katanya. – UTUSAN










