ASEAN berdepan peningkatan jenayah siber, penipuan pekerjaan - Utusan Malaysia

ASEAN berdepan peningkatan jenayah siber, penipuan pekerjaan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Negara ASEAN kini berdepan landskap serantau dan global yang semakin kompleks dengan dibentuk persaingan geopolitik, ketidaktentuan ekonomi serta cabaran rentas negara.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, lebih membimbangkan, ASEAN turut berhadapan ancaman keselamatan yang semakin meningkat termasuk peningkatan jenayah siber seperti penipuan dalam talian dan penipuan tawaran pekerjaan.

Malah katanya, ramai rakyat negara ASEAN menjadi mangsa kepada skim penipuan dan telah diperdagangkan untuk bekerja sebagai buruh paksa di tempat operasi penipuan.

“Mereka kehilangan kebebasan, maruah dan simpanan hidup mereka.

“Operasi haram dalam talian yang berleluasa ini memberi kesan negatif terhadap ekonomi Negara-Negara Anggota ASEAN,” katanya dalam ucapan pembukaan Mesyuarat Majlis Komuniti Politik- Keselamatan (APSC) Ke-29 hari ini.

Mesyuarat berkenaan akan membincangkan perkembangan terkini Badan Sektoral di bawah tonggak APSC.

Di samping itu, mesyuarat berkenaan akan meneliti kemajuan pelaksanaan Pelan Induk Politik-Keselamatan APSC 2025 serta persiapan untuk Kajian Akhir Penggal pelan berkenaan.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, ASEAN telah meningkatkan usaha untuk membendung ancaman jenayah siber dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Bagaimanapun jelas Mohamad, sindiket jenayah berkenaan masih mampu untuk berpindah dan membina semula operasi mereka dengan mudah.

“Menangani isu-isu ini secara menyeluruh adalah penting demi kesejahteraan rakyat kita serta keselamatan dan kemakmuran rantau ini,” ujarnya.

Katanya lagi, adalah amat penting bagi ASEAN untuk memperkukuh kerjasama serantau, penyelarasan undang-undang, dan mekanisme perkongsian maklumat dalam kalangan negara-negara anggota. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN