PUTRAJAYA: Kepengerusian ASEAN 2025 menjadi antara pemangkin utama yang melonjakkan perkembangan positif dalam sektor perniagaan negara pada suku kedua tahun ini.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, berdasarkan cerapan melalui Statistik Kecenderungan Perniagaan yang dijalankan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sentimen optimis dalam kalangan pemain industri semakin mengukuh.
“Dalam kita menilai ekonomi, selain melihat kepada data jualan, eksport dan pelaburan, kita turut menjalankan kajian terhadap pandangan ketua-ketua pegawai eksekutif dan pemilik syarikat.
“Data menunjukkan keyakinan dan ekspektasi ke hadapan itu bahawa ekonomi kita secara umumnya meningkat, itu adalah cerapan yang ditunjukkan hasil daripada survei kecenderungan perniagaan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan portal Malaysia Market Data Hub (MyLabourHub) di sini hari ini.
Mohd Uzir berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung Statistik Kecenderungan Perniagaan Suku Tahun Kedua 2025 yang dikeluarkan oleh DOSM.
Mengulas lanjut, beliau berkata, antara faktor yang menggerakkan keyakinan itu ialah pelaksanaan pelbagai inisiatif terkini kerajaan seperti sistem bantuan sosial, selain prestasi kewangan syarikat yang pulih dengan kukuh.
Mohd Uzir turut menyatakan bahawa kestabilan harga komoditi dan pelaksanaan sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih efisien menyumbang kepada pertumbuhan kukuh ekonomi. – UTUSAN