KUALA LUMPUR: Pelakon, Wilma Muhammad, 52, tidak menghalang jika anak-anaknya berminat menceburi bidang seni.
Kata bintang filem Ghazal Untuk Rabiah itu, malah dia menyokong kecenderungan kerjaya pilihan anak-anak asalkan kefahaman agama mereka terpelihara.
“Setakat ini mereka belum menunjukkan minat untuk menjadi pelakon. Tapi saya tak akan halang sekiranya mereka ingin mencuba (bidang seni).
“Yang penting, kefahaman agama mereka kena cukup supaya mereka dapat membezakan baik buruk dalam apa juga bidang kerjaya yang mereka pilih,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Wilma, menerusi perkahwinan pertama dengan Allahyarham Mahir Effendi, dikurniakan lima cahaya mata termasuk Raida Thaqifa, Athira Inara, Mahira Aqila, Muhammad Yusof dan Umar Al Faruq.
Mengulas tentang kepulangannya dalam bidang lakonan, pelakon berasal dari Lahad Datu, Sabah itu mengakui pada awal mengalami kejutan budaya disebabkan perubahan cara dan persekitaran kerja dunia drama dan perfileman.
“Saya rasa seperti baru mula berlakon, apatah lagi cara kerja orang filem sekarang sudah berubah.
“Teknologi juga berbeza, dulu kamera pakai filem, sekarang serba serbi digital. Proses menjadi lebih cepat.
“Tetapi saya tak ada masalah untuk sesuaikan diri. Setakat ini bekerja dengan generasi baharu juga mudah,” jelasnya. – UTUSAN