Arwah Akmal Wafi rancang pulang ke kampung bersama adik hari ini

Arwah Akmal Wafi rancang pulang ke kampung bersama adik hari ini

AKMAL WAFI ANNUAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Salah seorang anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Konstabel Akmal Wafi Annuar, 27, yang maut dalam kemalangan di Perak sepatutnya pulang ke kampung halamannya di Lunas, di sini hari ini.

Bapa arwah, Annuar Yusof, 55, berkata, anak sulungnya yang masih bujang itu mengikut perancangan akan pulang bersama adik perempuannya, Nor Wardina, 26, yang tinggal di Shah Alam.

“Sepatutnya arwah balik ke sini bersama adik perempuannya hari ini, namun takdir Allah sudah menentukan bahawa hajat dia tak kesampaian,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Annuar berkata, Akmal Wafi menyatakan hasrat pulang ke kampung pada tiga hari lalu ketika mereka sekeluarga mengadakan panggilan video.

“Semasa panggilan video itu, dia dengar Nor Wardina nak pulang ke Kulim, arwah kemudian berpesan kepada adiknya agar singgah di Ipoh kerana dia ingin menumpang kereta adiknya untuk bersama pulang ke kampung,” katanya.

Tambahnya, arwah merupakan seorang yang sentiasa ceria dan setiap kali pulang bercuti, dia akan berjumpa dengan kawan-kawan sekolahnya selepas meluangkan masa bersama ahli keluarga.

Menurut Annuar, kali terakhir mereka bertemu arwah adalah kira-kira dua minggu lalu dan Akmal Wafi tidak menunjukkan sebarang perubahan yang pelik.

Sementara itu ujarnya, dia mengetahui kemalangan itu ketika sedang bersarapan bersama beberapa rakan sekitar pukul 9.30 pagi sebelum salah seorang rakan menunjukkan gambar serta video kemalangan membabitkan anggota polis yang tular.

“Ketika itu saya masih tidak mengesyaki apa-apa kejadian buruk yang berlaku kepada anak tetapi apabila pulang ke rumah saya cuba menghubungi telefon bimbit arwah beberapa kali namun tidak dijawab, sebelum terus menghubungi tempat kerjanya.

“Semasa itulah saya mendapat pengesahan tentang kemalangan menimpa Akmal Wafi dan rakan-rakan setugasnya,” katanya.

Annuar berkata, arwah anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Sungai Limau, Lunas selepas semua urusan bedah siasat selesai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN