Penduduk Gaza ragui pelan damai Trump

Penduduk Gaza ragui pelan damai Trump

SEORANG kanak-kanak perempuan Palestin berjalan kaki sambil makan roti di Deir al-Balah di tengah Gaza. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Ketika Arij al-Farra mendengar berita Hamas bersetuju dengan sebahagian pelan damai diusulkan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, hatinya terdetik dengan sedikit harapan.

Namun sekelip mata kemudian, dentuman bom memecah udara apabila sebuah pesawat Israel melancarkan serangan udara berhampiran khemahnya di Khan Younis, selatan Gaza.

Walaupun dia terselamat, Farra menganggap serangan itu sebagai petanda buruk terhadap masa depan keamanan di Gaza.

“Saya rasa seperti kami berada dalam perangkap. Sama ada Hamas bersetuju atau tidak, kami tidak akan selamat.

“Serangan di sini tidak pernah berkurang, dan pesawat Israel masih berlegar di langit,” kata guru bahasa Inggeris berusia 23 tahun yang kini tinggal di khemah pelarian selepas kehilangan rumahnya.

Farra bukan satu-satunya rakyat Gaza yang skeptikal terhadap pelan berkenaan.

Persetujuan Hamas untuk membebaskan semua tebusan dan menyerahkan kuasa dipuji oleh Trump dan komuniti antarabangsa sebagai langkah besar ke arah keamanan. Namun bagi penduduk

Gaza, mereka sudah terlalu kerap mendengar janji seperti ini.

Trump sebelum ini beberapa kali menjanjikan gencatan senjata hanya tinggal ‘beberapa hari sahaja lagi’, tetapi rundingan sering gagal di saat akhir.

“Saya tidak meletakkan harapan tinggi terhadap perjanjian ini, kerana setiap kali kami hampir mencapai gencatan senjata, pasti ada sesuatu yang menggagalkannya,” jelas Farra.

Namun, ada juga yang masih menaruh sedikit harapan kali ini keadaan mungkin berbeza.

“Saya tetap berharap dan menjangkakan kali ini perjanjian itu akan lebih serius berbanding sebelum ini. Jika rundingan gencatan senjata ini berjaya, ia akan menjadi sesuatu yang baik, memenuhi tuntutan rakyat Palestin dan memberi rasa selamat kepada orang awam di Gaza utara,” kata Abu Faris, seorang penyunting video berusia 43 tahun.

Dr. Ashraf Maghari, profesor berusia 48 tahun di Universiti Islam Gaza, berkata terdapat keraguan kerana pelan ini disediakan oleh AS, sedangkan perang ini sendiri berlangsung dengan sokongan jelas dari republik itu.

“Pelan ini jelas mengutamakan kepentingan Israel dan tidak memberi jaminan bermakna kepada rakyat Palestin,” katanya.

Namun bagi kebanyakan penduduk Gaza yang sudah terlalu penat berperang, isu politik bukan lagi keutamaan.

“Keutamaan saya kini hanyalah menamatkan perang sepenuhnya. Jika Hamas perlu berkorban demi mencapai itu, maka mereka harus menanggung akibatnya,” kata Faris.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN