Anwar sedia mansuhkan kuasa presiden

Anwar sedia mansuhkan kuasa presiden

ANWAR Ibrahim mengimbas muka sebelum melakukan pengundian secara dalam talian semprna Kongress Nasional Keadilan 2025 di Johor Bahru semalam. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Datuk Seri Anwar Ibrahim sedia memansuhkan kuasa yang ada pada beliau sebagai Presiden PKR dalam meluluskan pencalonan ahli baharu pada pemilihan parti dan ia akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) akan datang.

Menurutnya, semua permohonan tersebut dihantar ibu pejabat parti kepada beliau untuk diluluskan bagi mengelak salah faham atau dakwaan pilih kasih dan mengakui meluluskan semua permohonan dibuat ahli baharu yang mahu bertan­ding dalam Pemilihan PKR kali ini.

“Tidak mengapa, nanti saya bawa dalam mesyuarat. Keputusan saya sendiri tidak mahu sebenarnya, saya sudah sebut dengan jelas dalam mesyuarat MPP.

“Tetapi ada (permohonan) dihantar ke pejabat saya dan saya luluskan semua kerana kalau luluskan sebahagian sahaja nanti akan jadi masalah.

Semua yang sampai ke meja saya, saya luluskan, jadi tiada isu,” kata­nya kepada pemberita usai menunaikan tanggungjawab mengundi kepemimpinan baharu PKR di sini semalam.

Cadangan pemansuhan itu dibangkitkan Timbalan Presi­den, Datuk Seri Rafizi Ramli beberapa hari lalu bagi mengelakkan parti dibanjiri individu yang hanya mahukan jawatan.

Rafizi mendakwa kuasa tersebut telah mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli akar umbi yang lama berjuang membina kekuatan parti sehingga berjaya membentuk Kerajaan Perpaduan.

Anwar yang juga Perdana Menteri berkata, semua permohonan berkaitan telah dibuat melalui tapisan dan proses yang diluluskan ibu pejabat PKR termasuk latar belakang, sama ada calon tersebut muflis atau mempunyai rekod jenayah.

Sementara itu usai melaksa­nakan tanggungjawab mengundi kepimpinan baharu PKR bagi penggal baharu di sini semalam, Anwar menegaskan, beliau ti­dak membawa senarai ‘cai’ da­lam pemilihan parti kali ini, sebaliknya, mengambil masa meneliti setiap calon secara teliti bagi memilih yang terbaik.

Sebaliknya, Perdana Menteri memilih dan menyokong ke­dua-dua kempen, iaitu Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa (HIRUK) dan Dari Akar, Membina Aspirasi Inklusif (DAMAI).

“Sudah mengundi tadi, saya tiada bawa ‘cai’ sebab itu ambil masa panjang (mengundi) kera­na teliti satu persatu, itu yang sebaiknya.

“Kita tengok yang terbaik, itu yang kita undi. Jadi, kalau sesetengah ada cai sana ada cai sini, saya tidak.

“Saya juga harap dalam keputusan kedua-dua (pihak) diambil kira yang dirasakan terbaik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN