PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan permohonan cuti oleh dua anggota Kabinetnya iaitu Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata, Anwar sudah menerima surat permohonan cuti dan pengunduran sebagai anggota Kabinet daripada dua pemimpin PKR itu.
“Setelah meneliti permohonan tersebut, Perdana Menteri telah bersetuju meluluskan permohonan cuti kedua-dua menteri berkenaan.
“Sebarang keputusan lanjut terkait perkara ini akan dimaklumkan kemudian oleh Perdana Menteri,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, Rafizi dan Nik Nazmi mengeluarkan kenyataan bahawa mereka sudah memberi surat pengunduran daripada Jemaah Menteri pada Anwar yang juga Presiden PKR.
Rafizi memaklumkan bahawa beliau akan bermula cuti esok sehingga 16 Jun, sementara Nik Nazmi pula bercuti sehingga 3 Julai ini.
Bekas Timbalan Presiden dan Naib Presiden PKR itu dilaporkan membuat keputusan tersebut selepas masing-masing gagal mempertahankan jawatan mereka dalam pemilihan parti sebelum ini. – UTUSAN