Anggota, waris FRU terima bantuan kewangan sehingga RM269,000 - Utusan Malaysia

Anggota, waris FRU terima bantuan kewangan sehingga RM269,000

AHLI keluarga anggota FRU yang maut dalam kemalangan mengambil barang milik mangsa di IPD Hiilir Perak di Teluk Intan hari ini. FOTO/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Semua waris anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 5 yang terlibat nahas di Jalan Sungai Manik-Sungai Lampam di sini hari ini, akan menerima bantuan kewangan antara RM58,000 hingga RM269,000.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sumbangan kepada penerima itu bergantung kepada tahap kecederaan yang dialami dan jumlah caruman insurans.

“Bagi Tabung Kebajian Polis DiRaja Malaysia (PDRM), setiap anggota yang terlibat dalam bencana kerja akan menerima sumbangan RM1,200. Ini bantuan yang telah diberikan kepada waris hari ini.

“Selain itu, bantuan turut disalurkan di bawah Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan Negara (TAPPN) di mana bagi kes kematian, bantuan sebanyak RM25,000 diberikan kepada waris manakala anggota yang parah dan hilang upaya kekal akan menerima bantuan antara RM8,000 hingga RM11,000 dan RM1,000 bagi anggota yang cedera ringan.

“Bentuk bayaran ini bagaimanapun bergantung kepada penilaian pakar perubatan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di sini hari ini.

Menurut beliau, Skim Ex Gratia pula menawarkan pampasan pukal sebanyak RM20,000 bagi kematian selain bayaran bulanan kepada waris yang layak termasuk dalam kes hilang upaya melebihi 21 peratus atau kurang daripada itu.

Katanya, setiap anggota juga menerima sumbangan sebanyak RM11,000 daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak manakala bantuan khairat kematian sebanyak RM1,500 kepada pencarum Koperasi PDRM.

“Pampasan insurans melalui koperasi ini pula antara RM36,000 hingga RM211,000 seorang dan ia bergantung kepada jumlah caruman anggota yang terlibat,” katanya.

Ayob Khan berkata, sumbangan tersebut menunjukkan keprihatinan PDRM dalam menjaga kebajikan pegawai dan anggota yang sedang menjalankan tugas mahupun di luar tugasan.

“Bantuan ini mencerminkan komitmen PDRM dan kerajaan dalam menjaga kebajikan pegawai dan anggota yang meninggal dunia atau cedera semasa menjalankan tugas.

“Secara peribadi, saya mewakili PDRM dan Ketua Polis Negara serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga yang terlibat dalam kemalangan ini,” katanya.

Dalam kejadian sekitar pukul 8 pagi itu, sebuah lori membawa 18 anggota FRU Unit 5 Sungai Senam di Ipoh dirempuh lori muatan batu dipandu lelaki berusia 45 tahun.

Pelanggaran itu menyebabkan lapan anggota maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.

Kejadian berlaku ketika kenderaan tersebut dalam perjalanan pulang ke Ipoh setelah selesai penugasan perayaan Chitra Pournami di daerah Hilir Perak semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN